BERITA TERKINI   Kadar tambang ECRL sehala Gombak-Kota Bharu RM125 (transit), RM147 (ekspres), operasi Disember 2026 - MRL | Usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lepas bantu lonjakkan kekuatan ekonomi, tingkat kesejahteraan rakyat - PM Anwar | Malaysia sedia gerak pesawat Bombardier, tiga helikopter, 50 anggota bantu padam kebakaran hutan di Indonesia, tunggu persetujuan rasmi untuk mulakan operasi – Ahmad Zahid | Inflasi Malaysia menurun kepada 1.8 peratus pada September 2026 daripada 1.9 peratus pada Ogos 2026 - DOSM | PM Anwar zahir penghargaan kepada warga MOF bertungkus-lumus siapkan Belanjawan 2027, manfaatkan rakyat | 

Sebanyak 280 Projek Persekutuan Di P. Pinang Bernilai RM33.22 Bilion Dilulus Di Bawah RMK13

GEORGE TOWN, 19 Okt (Bernama) -- Sebanyak 280 projek pembangunan Persekutuan di Pulau Pinang dengan kos keseluruhan RM33.22 bilion diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam kenyataan hari ini berkata projek berkenaan merangkumi 44 projek baharu dan 236 projek sambungan, dengan peruntukan sebanyak RM2.68 bilion bagi pelaksanaan pada 2027.

Beliau berkata 44 projek baharu itu melibatkan kos keseluruhan RM578.29 juta, dengan peruntukan RM63.71 juta bagi tahun depan.

Ad Banner

"Daripada jumlah itu, empat projek keutamaan negeri yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Februari lepas turut diluluskan," katanya.

Empat projek berkenaan ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kelang Ubi di Seberang Perai Tengah; menaik taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan; Rancangan Tebatan Banjir Sungai Perai (Fasa 2) di Seberang Perai Tengah; serta pemetaan dan pembangunan sumber air bawah tanah negeri.

Chow berkata empat projek itu melibatkan kos keseluruhan RM96.95 juta, dengan peruntukan RM2.2 juta bagi 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya satu lagi projek keutamaan negeri, Penang STEM Talent Blueprint telah diluluskan lebih awal di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13, dengan kos RM12.3 juta.

"Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum untuk kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

"Ini termasuk usaha sama dalam merealisasikan penubuhan Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang (PTFC) yang dipetakan sebagai pusat kewangan teknologi negara, dan dijangka menyumbang RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun kelak," katanya.

-- BERNAMA