BERITA TERKINI   Kadar tambang ECRL sehala Gombak-Kota Bharu RM125 (transit), RM147 (ekspres), operasi Disember 2026 - MRL | Usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lepas bantu lonjakkan kekuatan ekonomi, tingkat kesejahteraan rakyat - PM Anwar | Malaysia sedia gerak pesawat Bombardier, tiga helikopter, 50 anggota bantu padam kebakaran hutan di Indonesia, tunggu persetujuan rasmi untuk mulakan operasi – Ahmad Zahid | Inflasi Malaysia menurun kepada 1.8 peratus pada September 2026 daripada 1.9 peratus pada Ogos 2026 - DOSM | PM Anwar zahir penghargaan kepada warga MOF bertungkus-lumus siapkan Belanjawan 2027, manfaatkan rakyat | 

Momentum Pertumbuhan Malaysia Dijangka Kekal Kukuh Pada Suku Keempat 2026

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Permintaan domestik yang berdaya tahan, aktiviti pelaburan yang berterusan dan prospek eksport yang memberangsangkan dijangka menyokong momentum pertumbuhan Malaysia pada suku keempat 2026, menurut CGS International Securities Malaysia.

Menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini, pemacu utama lain termasuk langkah bantuan kos sara hidup dan sokongan pendapatan, sektor pelancongan, momentum pelaburan yang berterusan serta prospek eksport yang memberangsangkan.

CGS International memaklumkan kerajaan telah menaikkan had kelayakan bantuan elektrik dan bahan api serta memperkenalkan bayaran sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

Ad Banner

Menurutnya langkah itu dijangka membantu mengurangkan tekanan kos isi rumah, menyokong pendapatan boleh guna dan mengekalkan perbelanjaan pengguna pada suku keempat 2026.

Memetik maklumat Tourism Malaysia, menurutnya Malaysia merekodkan 28.8 juta ketibaan pelancong dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, sekali gus mengekalkan momentum ke arah mencapai sasaran kerajaan sebanyak 47 juta pelawat melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan.

Oleh itu, ketibaan pelawat dan perbelanjaan mereka yang berterusan dijangka terus menyokong aktiviti sektor perkhidmatan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelaburan berterusan dalam semikonduktor, pusat data, infrastruktur digital dan projek peralihan tenaga dijangka menyokong pertumbuhan pelaburan swasta.

“Pertumbuhan pinjaman modal kerja meningkat kepada paras tertinggi dalam rekod iaitu 5.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026, yang menunjukkan bahawa rancangan pengembangan korporat kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan luaran,” menurutnya.

CGS International menjangkakan permintaan luar terhadap eksport Malaysia akan terus disokong oleh kitaran peningkatan industri semikonduktor yang didorong kecerdasan buatan, dengan Persatuan Industri Semikonduktor mengunjurkan jualan semikonduktor global melebihi US$1.6 trilion pada 2026.

Sementara itu, menurut penganalisis sektor perladangan CGS International, eksport minyak sawit mentah berpotensi meningkat susulan tindakan India mengurangkan duti import minyak sawit daripada 10 kepada 5.0 peratus berkuat kuasa 24 Sept 2026 manakala harga minyak sawit yang lebih rendah dijangka meningkatkan daya saing komoditi itu berbanding minyak sayuran lain.

Bagaimanapun, menurut CGS International risiko terhadap prospeknya berpunca terutama daripada faktor luaran termasuk kelembapan kitaran teknologi global yang lebih ketara daripada jangkaan serta ketidaktentuan perdagangan yang kembali memuncak.

“Bagaimanapun, kami yakin risiko ini dapat dikurangkan oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pengembangan pelaburan swasta yang berterusan, aktiviti pelancongan yang memberangsangkan dan kekuatan yang berterusan dalam sektor pembuatan berorientasikan eksport.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2026 pada 5.5 peratus tahun ke tahun,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

TAG: CGS International, Malaysia, pertumbuhan, KDNK, pelancongan, eksport

 


NAMS NAMS TLC NSS