MAHB Pergiat Penyahkarbonan, Sasar Pelepasan Sifar Bersih GHG Menjelang 2040

SEPANG, 19 Okt (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang meningkatkan usaha penyahkarbonan operasi dan menyasarkan sifar pelepasan sifar bersih gas rumah hijau (GHG) bagi Skop 1 dan 2 dapat dicapai menjelang 2040.

Pengarah Urusan Datuk Mohd Izani Ghani berkata sasaran itu memerlukan pelaburan berterusan dalam aspek kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, operasi darat atau di lapangan yang lebih bersih serta pembangunan infrastruktur lapangan terbang yang lebih mampan.

Bercakap pada acara Hari Kemampanan Penerbangan 2026 di sini hari ini, beliau berkata aspirasi jangka panjang MAHB adalah mencapai pelepasan sifar bersih bagi kategori Skop 3 terpilih menjelang 2050 yang sejajar dengan cita-cita Malaysia untuk pelepasan GHG menjelang tahun sama.

Ad Banner

Pelepasan Skop 1 merujuk kepada pelepasan langsung gas rumah hijau daripada sumber dimiliki atau dikawal oleh sesebuah organisasi manakala Skop 2 merangkumi pelepasan tidak langsung daripada penjanaan tenaga elektrik, pemanasan dan penyejukan.

Pelepasan Skop 3 pula merangkumi pelepasan tidak langsung lain di sepanjang rantaian nilai sesebuah organisasi, termasuk pelepasan berkaitan dengan pembekal, pengurusan sisa dan perjalanan perniagaan.

“Pelan penyahkarbonan kami menggariskan langkah-langkah yang jelas dan dapat diukur untuk mengurangkan pelepasan di serata operasi kami. MAHB juga menetapkan asas pelepasan yang dikemas kini merentasi lima lapangan terbang antarabangsa kami -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kemajuan kami ini turut menyokong usaha untuk mencapai Tahap 4  program Akreditasi Karbon Lapangan Terbang bagi KLIA yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini khususnya berkaitan dengan tenaga bersih, infrastruktur mampan, tindakan menangani perubahan iklim dan kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, acara Hari Kemampanan Penerbangan anjuran bersama MAHB dan Malaysia Aviation Group (MAG) itu menjadi platform bagi pihak berkepentingan industri meneroka peluang kerjasama lebih erat dalam menangani cabaran pelaburan, infrastruktur dan operasi bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor penerbangan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menyifatkan penerbangan sebagai satu kepentingan strategik nasional yang melibatkan sektor perdagangan dan pelancongan selain menyediakan kesalinghubungan penting bagi rakyat di serata Malaysia.

“Tahniah kepada kedua-dua organisasi ini atas pelancaran Pelan Hala Tuju Kelestarian Jangka Sederhana MAG 2026–2035 dan Perjalanan Penyahkarbonan Malaysia Airports.

“Inisiatif ini jelas memaparkan kepimpinan, komitmen jangka panjang serta pengiktirafan jelas bahawa kemampanan ini bukan setakat berdasarkan aspirasi, tetapi kepentingan strategik perniagaan untuk industri,” katanya.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengawalseliaan) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Kapten Mohd Radzi Mohamad. 

-- BERNAMA