Unit MMAG Jual Pesawat Boeing B737-400SF Pada Harga US$2.8 Juta
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- MMAG Holdings Bhd (MMAG) melalui anak syarikat tidak langsungnya, MJets Air Sdn Bhd, menjual sebuah pesawat Boeing B737-400SF kepada Mont Gabanon Airlines (MGA) dengan harga tunai US$2.8 juta.
MGA merupakan bahagian penerbangan Mont Gabaon SARLU, sebuah syarikat liabiliti terhad persendirian yang diperbadankan di Republik Demokratik Congo.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MMAG memaklumkan hasil daripada penjualan yang dicadangkan itu akan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja MJets Air.
Ini termasuk membayar pemiutang perdagangan dan pemiutang lain, perbelanjaan operasi, bayaran pajakan dan perbelanjaan perniagaan harian yang lain.
Penyedia pengurusan rantaian bekalan bersepadu dan perkhidmatan logistik itu memaklumkan cadangan penjualan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk menilai semula aset-aset dan operasi penerbangannya.
“Ketegangan geopolitik yang berterusan dan ketidaktentuan global ketika ini, serta kenaikan mendadak harga bahan api bukan sahaja meningkatkan kos operasi dengan ketara, malah mengurangkan permintaan sewaan pesawat, khususnya bagi model pesawat ini yang terus berdepan kesukaran menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos operasinya,” tambahnya.
-- BERNAMA