HLIB Jangka Sektor Teknologi Malaysia Terus Papar Momentum Pendapatan Kukuh
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sektor teknologi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pendapatan yang teguh pada suku ketiga 2026, disokong oleh kitaran peningkatan industri semikonduktor yang semakin meluas dan kebolehlihatan permintaan yang kukuh, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Menurut bank pelaburan itu, jangkaan terhadap prestasi pendapatan kekal tinggi, disokong oleh permintaan struktur terhadap kecerdasan buatan, kepelbagaian strategi China+1 yang semakin pesat, penyetempatan rantaian bekalan dan kejayaan mendapat pelanggan baharu.
“Kami melihat perkembangan ini paling ketara dalam segmen peralatan modal semikonduktor, apabila pemain utama global bagi peralatan fabrikasi wafer meningkatkan penyumberan daripada pembekal Malaysia manakala syarikat baharu yang lebih kecil dalam segmen ini turut mula beroperasi di negara ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
HLIB mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor teknologi, dengan menyenaraikan ViTrox, UWC dan SAM Engineering sebagai pilihan utama dalam segmen perkakasan teknologi berikutan prospek pendapatan yang lebih jelas serta momentum positif semakan meningkat unjuran pendapatan.
Selain perkakasan, HLIB memilih ITMAX berikutan pendedahannya kepada penyelesaian bandar pintar, yang disokong kadar penggunaan kamera televisyen litar tertutup di Malaysia yang lebih rendah berbanding Singapura serta pemacu pendapatan baharu daripada sistem parkir pintar dan teknologi kembar digital.
Bagaimanapun HLIB menegaskan bahawa sektor teknologi secara keseluruhannya mungkin kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini walaupun asas korporat adalah berdaya tahan.
Keadaan ini berikutan hasil bon yang lebih tinggi, peningkatan harga minyak dan prospek kecenderungan menaikkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang memberikan tekanan kepada sentimen pelabur.
“Kami menjangkakan keadaan ini akan menyebabkan pasaran kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini, dengan pergerakan harga lebih didorong oleh sentimen makro, kedudukan pasaran dan perubahan minat terhadap risiko berbanding faktor asas yang mendasarinya.
“Bagaimanapun, kami akan memanfaatkan sebarang penurunan pasaran untuk menambah pegangan dalam saham yang berkualiti pada penilaian lebih menarik, dengan mengutamakan syarikat yang mempunyai kebolehlihatan pendapatan yang kukuh serta potensi semakan meningkat terhadap anggaran pendapatan,” menurutnya.
-- BERNAMA