BNM Terbit Kertas Strategi, Draf Pendedahan Rangka Kerja Kontrak Syariah Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan menerbitkan kertas strategi dan draf pendedahan berkaitan rangka kerja kontrak Syariah tahun ini.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata rangka kerja itu sedang dikaji semula bagi menggalakkan penggunaan kontrak Syariah yang lebih meluas dan berkesan.
“Pelan Tindakan Sektor Kewangan seterusnya juga akan mencerminkan perubahan hala tuju yang lebih luas ini. Kami mahu menyelaraskan sektor kewangan dengan lebih rapat dengan keutamaan sosioekonomi masa depan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2026 di sini hari ini.
Pada 11 Nov 2024, bank pusat itu menerbitkan kertas perbincangan mengenai rangka kerja kontrak Syariah yang menggariskan pendekatan dicadangkan untuk mengkaji semula dokumen dasar sedia ada berasaskan kontrak Syariah.
Kertas perbincangan berkenaan merangkumi cadangan pembentukan rangka kerja, penyelarasan penggunaan kontrak Syariah dengan objektif yang ingin dicapai, penyesuaian semula keperluan Syariah dan operasi, serta strategi dan garis masa pelaksanaan kajian semula.
Dalam satu kenyataan, BNM berkata inisiatif ini bertujuan menyokong penggunaan kontrak Syariah yang pelbagai oleh institusi kewangan Islam, selaras dengan strategi Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.
Mengenai pelan tindakan seterusnya, Abdul Rasheed berkata BNM akan mengutamakan penyelarasan strategi dan modal dengan matlamat yang ingin dicapai, menerusi penyaluran sumber kepada sektor bernilai tambah tinggi dan tenaga boleh baharu, selain memperkukuh daya tahan terhadap kejutan iklim dan ekonomi.
Katanya, keutamaan kedua akan memberi tumpuan kepada inovasi yang berasaskan keperluan sebenar.
“Kami mahu meneruskan usaha sedia ada untuk merangka penyelesaian berdasarkan realiti yang dihadapi isi rumah dan perniagaan, khususnya dalam memenuhi keperluan yang masih kurang mendapat perhatian atau belum dipenuhi.
“Ini termasuk sokongan kewangan dan teknikal bagi mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata keutamaan ketiga ialah memastikan nilai-nilai seperti keadilan, integriti dan empati menjadi teras.
“Nilai-nilai ini mesti kekal menjadi asas kepada keputusan perniagaan dan amalan pasaran. Maqasid Syariah menjadi panduan kita. Kami mahu mencapai hasil berasaskan nilai yang memberikan impak,” katanya.
KLIFF 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan lebih 400 delegasi berdaftar dari seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform utama perbankan dan kewangan Islam di rantau ini.
-- BERNAMA