BERITA TERKINI   Bilangan jenama di Lazada Malaysia meningkat 20 peratus kepada 21,756 pada September 2026, berbanding 18,147 pada September 2025 - Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia | Malaysia rancang mengadakan pertemuan dengan Singapura Disember ini bagi bincang kerjasama keselamatan dalam talian - Fahmi | Malaysia dan Indonesia sepakat memperkukuh kerjasama keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan Singapura berpotensi dilibatkan - Fahmi | PN mohon RoS tangguh pembatalan pendaftaran gabungan itu, tunggu penentuan mahkamah Khamis ini - Takiyuddin | MRL tawar diskaun 30 peratus tiket ekonomi ECRL selama sebulan mulai pertengahan November sempena pembukaan 12 Dis ini - Loke | 

KLIA Aeropolis Dijangka Tarik Pelaburan Sektor Penerbangan, Logistik, Pusat Data- Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pembangunan KLIA Aeropolis berkeluasan 3,454 hektar di Sepang dijangka menarik lebih banyak industri berkaitan penerbangan, operator logistik, hotel dan pusat data dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut Juwai IQI.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kashif Ansari berkata penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain baru-baru ini, yang menarik kehadiran lebih 260,000 penonton ke Litar Antarabangsa Sepang, telah menyerlahkan peluang untuk membangunkan lagi kawasan sekitar lapangan terbang itu terutama dalam sektor hospitaliti dan perniagaan berkaitan penerbangan.

“Saya mempunyai empat ramalan mengenai perkembangan seterusnya bagi Aeropolis di sekitar KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

Ad Banner

“Pertama, industri yang berkaitan secara langsung dengan perjalanan udara akan merangkumi sebahagian besar pelaburan dalam tempoh 10 tahun akan datang.Selain taman tema, kehadiran operator kargo dan syarikat penyelenggaraan pesawat juga adalah dijangkakan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kashif perkembangan itu antaranya akan disokong oleh keputusan China untuk menggunakan KLIA sebagai pintu masuk kargonya bagi rantau ASEAN selain kehadiran anak syarikat logistik Alibaba yang mengendalikan hab pemenuhan pesanan berkeluasan 24.28 hektar di kawasan itu.

Beliau turut menekankan mengenai potensi pembangunan hotel baharu berhampiran KLIA berikutan permintaan yang tinggi semasa hujung minggu perlumbaan GP yang menyaksikan kadar bilik hotel dilaporkan meningkat sehingga tiga kali ganda.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pusat data turut berpotensi sebagai bidang pertumbuhan, katanya sambil memaklumkan sebuah taman solar yang sedang dibina dijangka mula beroperasi tahun depan manakala ketersediaan tanah boleh menyokong penjanaan tenaga mampan tambahan.

Bagaimanapun, Kashif berkata Aeropolis berkemungkinan tidak berkembang menjadi kawasan pembangunan kediaman berskala besar walaupun secara teorinya kawasan itu berupaya menampung kira-kira 48,000 rumah sekiranya dibangunkan pada kadar kepadatan seperti kawasan perbandaran tipikal di Sepang.

“Bunyi pesawat dan zon keselamatan menjadikan tanah di kawasan lapangan terbang tidak sesuai untuk membina ribuan rumah. Lembah Klang memerlukan aktiviti perniagaan daripada Aeropolis.

“Ia memerlukan bangunan pejabat, gudang, pusat pengedaran, kilang berteknologi tinggi, pusat data dan ladang solar selain ruang rekreasi dan peruncitan,” katanya.

Lapangan terbang adalah pemacu ekonomi yang berupaya mewujudkan kelompok perniagaan di kawasan sekitarnya, katanya sambil memetik kenyataan penganalisis PricewaterhouseCoopers bahawa KLIA Aeropolis berpotensi menyumbang sebanyak RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan mewujudkan 56,000 pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

-- BERNAMA