Manfaatkan PAKW Sebagai Rujukan Penting Nilai Kecukupan Pendapatan Isi Rumah -- Akmal Nasrullah
PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) perlu dimanfaatkan sebagai rujukan penting dalam menilai kecukupan pendapatan isi rumah selain merangka intervensi ekonomi lebih bersasar, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata ini penting khususnya bagi menangani perbezaan kos sara hidup mengikut lokasi dan komposisi keluarga.
Jelas beliau, PAKW menganggarkan perbelanjaan yang diperlukan isi rumah untuk mencapai taraf kehidupan wajar dengan mengambil kira lokasi serta saiz dan komposisi isi rumah.
"Ini bukan kadar gaji minimum dan tidak boleh digunakan sebagai kadar upah yang sama bagi semua pekerja. Sebaliknya, PAKW membantu kita menilai kecukupan pendapatan dan perbezaan tekanan kos kehidupan antara keluarga serta kawasan.
"Apabila data gaji dan produktiviti digabungkan dengan PAKW, kerajaan dapat melihat dengan lebih jelas jurang antara pendapatan dengan keperluan kehidupan, sekali gus merangka intervensi lebih tepat," katanya pada Majlis Perasmian Hari Statistik Negara di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh timbalannya Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Akmal Nasrullah berkata Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 yang diterbitkan pada September lepas, turut menjadi rujukan penting bagi penilaian perkembangan dan jurang gaji mengikut kemahiran, pekerjaan serta sektor.
"(Hasil) dapatan ini bersama indikator produktiviti dan PAKW, membolehkan kerajaan menilai aspek keberkesanan dasar pendapatan dengan lebih menyeluruh, termasuk perubahan yang dirasai pekerja dan keupayaan perusahaan untuk meningkatkan nilai tambah.
"Inilah asas reformasi pasaran buruh dalam Rancangan Malaysia ke-13 iaitu meningkatkan nilai kerja, memperbaiki padanan kemahiran dan pekerjaan, serta memastikan peningkatan produktiviti diterjemahkan kepada pendapatan pekerja," katanya.
Pada masa sama, Akmal Nasrullah menegaskan langkah menaikkan lantai gaji sahaja tidak mencukupi, sebaliknya penilaian perlu dibuat terhadap risiko pemampatan jurang upah apabila perbezaan ganjaran antara pekerja baharu dengan pekerja lebih mahir atau berpengalaman semakin mengecil.
Penilaian itu juga, katanya, mesti mengambil kira struktur kemahiran, produktiviti serta kemampuan majikan, terutama jurang kapasiti antara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan syarikat besar.
Beliau berkata matlamat itu bukan sekadar gaji permulaan yang lebih baik, tetapi perkembangan gaji yang munasabah sepanjang kerjaya manakala kejayaan dasar perlu dinilai daripada perubahan yang dialami rakyat, bukan semata-mata peruntukan atau bilangan penerima.
Selain itu, katanya, pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan tinggi jika tenaga kerja dan pembekal tempatan tidak dapat menyertai rantaian nilai.
Atas alasan itu, tegas beliau, statistik pelaburan perlu dibaca bersama data pekerjaan, gaji, kemahiran, produktiviti dan keupayaan perusahaan.
"Untuk Kementerian Ekonomi, matlamat perancangan pembangunan ialah membuka peluang untuk rakyat memperbaik kehidupan. Kemajuan bukan hanya tertera dalam Keluaran Dalam Negara Kasar.
"Bagi sesebuah keluarga, kemajuan itu bermakna pendapatan yang mencukupi, pendidikan yang baik, pekerjaan bermutu dan sedikit ruang simpanan ketika kecemasan," katanya.
-- BERNAMA