Malaysia Perlu Kapasiti Tambahan TBB Sehingga 2,000 MW Capai Sasaran 2030 - SEDA
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia memerlukan tambahan kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 1,500 hingga 2,000 megawatt (MW) bagi mencapai sasaran kapasiti terpasang TBB sebanyak 35 peratus menjelang 2030, menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).
Ketua Pegawai Strategi SEDA Saiful Hakim Abdul Rahman berkata sasaran itu boleh dicapai dengan sokongan pelbagai program solar, termasuk program Solar Berskala Besar (LSS), khususnya LSS5 yang menawarkan kuota kapasiti solar sebanyak dua gigawatt (GW) atau 2,000 MW.
Beliau berkata meskipun Malaysia mempunyai sumber solar yang mencukupi serta pilihan pembiayaan bagi menyokong projek TBB, namun cabaran masih wujud dalam memastikan projek memenuhi keperluan pembiayaan bank serta mendapatkan syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan kukuh.
“Antara cabaran lain ialah mendapatkan sambungan ke grid kerana kebanyakan sumber kita bergantung pada lokasi tertentu. Oleh itu, sambungan kepada sumber berkenaan bergantung pada ketersediaan grid di lokasi tersebut.
“Atas sebab itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) diperuntukkan kira-kira RM15 bilion untuk menambah baik infrastruktur gridnya bagi membolehkan lebih banyak sambungan dan penggunaan TBB dalam sistem,” katanya kepada Bernama ketika mengadakan kunjungan ke ibu pejabat agensi berita nasional itu hari ini.
Pada Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kapasiti terpasang TBB Malaysia mencapai hampir 32 peratus setakat Jun, sekali gus meletakkan negara pada landasan untuk mencapai sasaran 35 peratus menjelang 2030.
Mengulas mengenai insentif berkaitan TBB yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, Saiful Hakim berkata peruntukan itu akan menggalakkan lebih banyak pemain industri menyertai peralihan tenaga.
“Peruntukan yang disediakan kerajaan akan membantu lebih banyak pemain industri menyertai peralihan tenaga dengan membangunkan ladang solar sendiri, selain adanya jaminan pembeli daripada bangunan kerajaan.
“Pada masa sama, langkah ini akan membantu kita mempercepat peralihan tenaga dan meningkatkan penggunaan TBB di negara ini. Justeru itu, kita telah menetapkan sasaran untuk mencapai 70 peratus menjelang 2050,” katanya.
SEDA ialah badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus pelaksanaan mekanisme Tarif Galakan (FiT).
Saiful Hakim berkata mekanisme FiT membolehkan pemain industri TBB termasuk dalam sektor hidro kecil dan biotenaga membangunkan loji janakuasa berdasarkan kuota yang diperuntukkan.
SEDA, katanya turut menyokong perkembangan industri solar dengan membangunkan modul latihan dan bekerjasama dengan rakan latihan, termasuk MARA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kerajaan negeri serta institut latihan swasta, bagi menyediakan latihan bertauliah dan menambah bilangan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri
“Pasukan penyelidikan kami menjalankan kajian mengenai teknologi dan dasar baharu bagi mengenal pasti program, mekanisme dan teknologi yang paling sesuai untuk diperkenalkan di negara ini,” katanya.
Ketibaan Saiful Hakim disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.
-- BERNAMA