Malaysia Perlu Bangunkan Bakat Keselamatan Siber Seiring Peningkatan Penggunaan AI
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu terus membangunkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang keselamatan siber, di samping membantu pasukan sedia ada meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk bekerja secara berkesan dengan kecerdasan buatan (AI), automasi dan persekitaran digital yang semakin kompleks.
Pengurus Negara Fortinet Malaysia Kevin Wong berkata keselamatan siber akan menjadi aspek penting dalam memastikan penggunaan AI dapat dilaksanakan dengan selamat dan yakin, seiring dengan penggunaannya yang semakin meluas dalam kalangan kerajaan, perniagaan dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata AI turut mengubah landskap risiko keselamatan siber apabila penjenayah menggunakannya untuk menjadikan penipuan lebih meyakinkan, mengautomasikan serangan dan menyasarkan organisasi dengan lebih pantas serta pada skala yang lebih besar.
Pada masa yang sama, integrasi teknologi maklumat (IT), sistem awan dan teknologi operasi yang semakin meluas meningkatkan potensi impak serangan siber terhadap infrastruktur kritikal dan perkhidmatan penting.
“Sehubungan itu, keselamatan siber perlu seiring dengan aspirasi digital Malaysia.
“Ini bermaksud Malaysia perlu melindungi infrastruktur kritikal, menjamin keselamatan sistem AI dan data yang menjadi penggantungannya, memperkukuh usaha memerangi jenayah digital serta membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menangani ancaman baharu yang muncul,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel.
Wong berkata salah satu cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh perniagaan adalah persekitaran keselamatan yang semakin kompleks apabila banyak organisasi bergantung kepada pelbagai peralatan keselamatan yang tidak saling berhubung.
Hal ini mewujudkan jurang pemantauan, melambatkan masa tindak balas dan menambah tekanan kepada pasukan keselamatan yang telah sedia terbeban.
Sehubungan itu katanya, organisasi perlu mempunyai gambaran yang jelas dan berterusan mengenai pengguna, peranti, aplikasi, data serta potensi kelemahan keselamatan mereka bagi membolehkan pasukan keselamatan mengesan aktiviti mencurigakan lebih awal, mengutamakan risiko dan membendung ancaman sebelum berlakunya gangguan yang lebih besar.
Wong berkata pada masa hadapan keselamatan identiti akan terus menjadi kebimbangan utama, dengan sasaran ancaman bukan lagi terhad kepada pekerja dan pelanggan, malah turut merangkumi aplikasi, peranti, identiti mesin dan ejen AI.
"Organisasi di Malaysia memerlukan keterlihatan dan pemantauan yang lebih kukuh, tadbir urus identiti yang mantap, serta persekitaran keselamatan yang lebih bersepadu.
“Organisasi yang mampu menjamin keselamatan penggunaan AI sambil memanfaatkan AI untuk memperkukuh pertahanan siber akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berinovasi dengan selamat dan mengekalkan daya tahan,” tambahnya.
-- BERNAMA