BERITA TERKINI   Mahasiswa tidak wajar dijadikan alat atau mangsa propaganda politik - Zambry | Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026: Jaguh lompat jauh para Datuk Abdul Latif Romly sumbang emas ketiga Malaysia menerusi kategori T20 lelaki | Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026: Jaguh powerlifting para Bonnie Bunyau Gustin sumbang emas kedua Malaysia menerusi kategori bawah 72 kg lelaki | ASEAN perlu bersatu lindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian yang semakin meningkat - Fahmi | 

MAHB Tumpu Pada Keterhubungan Udara, Perluas Kapasiti Bagi Sokong Pertumbuhan

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan dan memperluas kapasiti lapangan terbang bagi menyokong pertumbuhan trafik pada masa hadapan serta menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas.

Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani berkata, dari segi pertumbuhan, syarikat perlu memastikan pengembangannya berterusan dengan membawa masuk lebih banyak syarikat penerbangan ke negara ini.

Ad Banner

“Kita perlu mewujudkan peluang dari segi pelancongan dan aktiviti ekonomi supaya rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat daripadanya,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Mobile Studio bersempena dengan Transport Expo Asia 2026 (TXA 2026).

Mohd Izani memberitahu kerja pengembangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan diteruskan sehingga 2028 manakala kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu akan ditingkatkan kepada 12 juta penumpang daripada sembilan juta penumpang menjelang tahun yang sama.

“Dari segi kapasiti, kita terus memperluas lapangan terbang dan tidak menunggu sehingga kesesakan berlaku. Kita membuat perancangan lebih awal supaya apabila tiba masanya, kita sudah bersedia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Jadi, saya berpendapat semua perkara itu sedang diusahakan sekarang dan saya gembira kerana kita cukup bersedia dari segi semua aspek berkenaan. Kita akan terus memastikan rancangan untuk masa hadapan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

 

Pengalaman penumpang, penggunaan teknologi untuk tingkat kecekapan

 

Mengenai pengalaman penumpang, beliau berkata kerjasama antara Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, polis, syarikat penerbangan dan pengendali darat amat penting bagi memastikan perjalanan penumpang menerusi lapangan terbang berjalan lancar.

“Saya menggesa supaya semua pihak bekerjasama bagi memastikan perjalanan pelanggan berjalan lancar iaitu dari kawasan menurunkan penumpang di lapangan terbang sehingga ke pesawat.

“Itulah prinsip pegangan kami iaitu memastikan kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan,” jelasnya.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohd Izani memaklumkan MAHB terus menambah baik perkhidmatan dan kemudahan selain memperkenalkan lebih banyak teknologi bagi memenuhi harapan penumpang.

“Bagi KLIA, kita terus menambah baik perkhidmatan dan kemudahan serta memperkenalkan lebih banyak teknologi kerana kecekapan amat penting bagi kami.

“Bagi pelanggan, khususnya golongan muda dan pengguna masa kini, mereka mahukan perjalanan yang lancar dari kawasan menurunkan penumpang di lapangan terbang sehingga menaiki pesawat,” katanya.

Beliau menyatakan MAHB turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menjangkakan waktu ketibaan penumpang memuncak serta berkongsi data dengan Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen bagi membantu agensi berkenaan membuat persiapan operasi.

“Jadi, sekali lagi, kerjasama perlu dijalinkan bagi memastikan kita memanfaatkan sepenuhnya data yang ada.

“Dengan itu, apabila penumpang tiba, urusan pemeriksaan di Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam dapat berjalan dengan lebih lancar,” jelasnya.

 

Pengembangan lapangan terbang bagi menarik lebih ramai pelancong

 

Menurut Mohd Izani, MAHB turut memperluas Lapangan Terbang Tawau yang menjadi pintu masuk bagi pelancong yang berkunjung ke Pulau Sipadan termasuk pelawat dari China.

“Tawau, seperti yang diketahui umum merupakan pintu masuk ke Pulau Sipadan. Pelancong akan melalui Lapangan Terbang Tawau sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Sipadan.

“Kita menerima ramai pelancong dari rantau ini khususnya China yang datang untuk menyelam dan bersnorkel di Pulau Sipadan,” katanya.

Sementara itu, mengenai Kota Bharu, Mohd Izani berkata peningkatan kapasiti pengendalian penumpang lapangan terbang itu kepada empat juta orang berbanding 1.5 juta sebelum ini menyediakan ruang untuk pertumbuhan selanjutnya.

Jelasnya, perkhidmatan penerbangan ke Jakarta dan Singapura turut menerima sambutan penumpang yang semakin menggalakkan.

“Baru-baru ini, terdapat penerbangan terus dari Kota Bharu ke Jakarta yang dikendalikan oleh AirAsia dan saya dimaklumkan bahawa penerbangan itu mendapat sambutan yang baik daripada penumpang.

“Selain itu, terdapat juga penerbangan dari Singapura. Laluan Kota Bharu-Singapura juga menunjukkan prestasi yang baik dari segi jumlah penumpang, berdasarkan maklumat yang saya terima,” katanya.

Beliau memberitahu, MAHB sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa negeri untuk membangunkan keterhubungan penerbangan di antara Kota Bharu dengan Bangkok.

“Apa yang sedang saya usahakan bersama syarikat penerbangan dan pihak berkuasa negeri ialah membawa penumpang dari Kota Bharu ke Bangkok.

“Jadi, kita mahu meningkatkan lagi trafik penumpang antarabangsa ke Kota Bharu,” jelas beliau.

Mohd Izani menyatakan MAHB turut bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa negeri bagi menyokong sektor pelancongan di Langkawi.

“Bagi Langkawi juga, saya berpendapat kita perlu mengembalikan zaman kegemilangan Langkawi. Kita perlu melakukan lebih banyak usaha dan sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk membawa lebih banyak penerbangan terus ke Langkawi,” katanya.

-- BERNAMA