Lembaga Pelabuhan Labuan, Perbadanan Labuan, Megah Port Bekerjasama Pacu Pelancongan Kapal Persiaran
Oleh Jailani Hasan
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), Perbadanan Labuan dan Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) bekerjasama bagi memperkukuh pembangunan pelancongan kapal persiaran di Labuan.
Menerusi kerjasama itu, kepakaran masing-masing akan dimanfaatkan bagi menarik lebih banyak kapal persiaran ke pulau berkenaan.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini bersempena dengan Transport Expo Asia 2026.
MoU itu merupakan antara 17 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai pada majlis berkenaan.
Pengurus Besar LPA Mizool Amir Mat Drus berkata MoU itu menandakan permulaan usaha ke arah kerjasama yang lebih erat serta penerokaan usaha niaga baharu dalam industri yang dapat melengkapi sektor pelancongan Labuan.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan MPM sebagai pengendali pelabuhan untuk mengendalikan kapal persiaran sambil menambah kerjasama itu akan menggabungkan kekuatan setiap pihak bagi menyokong pertumbuhan pelancongan kapal persiaran.
“Kerjasama ini menggabungkan kepakaran pihak berkuasa pelabuhan, Perbadanan Labuan dan pengendali pelabuhan bagi memperkukuh perkhidmatan berkaitan kapal persiaran serta menjana peluang ekonomi yang lebih luas untuk pulau ini,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail memberitahu Seksyen 4 Akta Perbadanan Labuan 2001 memperuntukkan penyelarasan aktiviti antara agensi kerajaan dengan sektor swasta demi kepentingan pembangunan Labuan.
Menurutnya, Perbadanan Labuan mengalu-alukan inisiatif sektor swasta termasuk yang dilaksanakan oleh MPM dan syarikat sekutunya, Sailion Shipping Sdn Bhd untuk membangunkan industri kapal persiaran.
Rithuan memaklumkan agensi itu akan terus menambah baik kemudahan dan infrastruktur pelancongan di pulau berkenaan bagi meningkatkan daya tarikannya kepada pengunjung.
Beliau menyatakan pengiktirafan Labuan oleh Malaysia Book of Records terhadap beting pasir di Pulau Kuraman sebagai beting pasir semula jadi terpanjang dan beting pasir terdedah paling panjang di Malaysia turut membuktikan potensi untuk mempelbagaikan produk pelancongan pulau itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong menegaskan syarikat itu bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan ketibaan kapal persiaran di Labuan.
Beliau menjelaskan Sailion Shipping akan meneruskan usaha untuk meyakinkan pengendali kapal persiaran agar memasukkan Labuan sebagai destinasi persinggahan dalam jadual perjalanan mereka pada masa hadapan.
“Kami bersedia kerana mempunyai kepakaran dan rangkaian untuk menyokong operasi kapal persiaran,” katanya.
Sailion Shipping mengendalikan kapal persiaran di pelabuhan utama di seluruh negara sekali gus membawa pengalaman industri dan rangkaian yang dapat menyokong pembangunan pelancongan kapal persiaran di Labuan.
-- BERNAMA