BERITA TERKINI   Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | Malaysia rancang meterai MoU dengan Indonesia, Singapura, Kemboja dalam bidang filem, animasi, muzik, persembahan konsert - Fahmi | Malaysia, Singapura, Kemboja bincang kerjasama perkongsian data industri kreatif termasuk filem dan persembahan artis - Fahmi | Sukan Para Asia 2026: Atlet para olahraga negara, Wong Kar Gee raih emas acara lompat jauh T12 | Bacaan IPU dikeluarkan JAS kekal sebagai rujukan tentukan kualiti udara negara - Arthur | 

Harga MSM Dijangka Kekal Melebihi RM4,600 Satu Tan Pada November - MPOC

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada November, disokong oleh penurunan pengeluaran bermusim dan penggunaan biodiesel yang berterusan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)

Menurut MPOC, keputusan India baru-baru ini untuk mengurangkan duti import ke atas minyak sayuran dijangka menjadikan minyak sawit import lebih murah, sekali gus bakal menggalakkan import dalam beberapa bulan akan datang.

MPOC dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa pengeluaran minyak sawit Malaysia dipercayai telah mencapai kemuncaknya pada September, meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada 2.11 juta tan, disokong oleh pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi dan kadar perahan minyak yang lebih baik.

Ad Banner

Pengeluaran minyak sawit djangka merosot secara bermusim dalam tempoh lima bulan akan datang, dengan paras inventori dijangka menunjukkan trend penurunan dari November 2026 hingga Februari 2027 dan seharusnya memberi sokongan tambahan kepada harga MSM pada suku terakhir 2026.

“Sementara itu, jumlah kumulatif eksport minyak sawit meningkat sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 12.1 peratus kepada 1.12 juta tan pada September,” menurut MPOC. 

Ketersediaan kapal yang terhad di Selat Melaka dan peningkatan persaingan daripada Indonesia turut melemahkan eksport bulanan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut MPOC lagi, prestasi eksport yang lemah pada September berkemungkinan bersifat sementara.

Bagaimanapun, MPOC menyatakan bahawa jumlah penghantaran diunjurkan meningkat dengan ketara antara Oktober dan Disember, didorong oleh ketersediaan lebih banyak kapal serta bekalan minyak campuran yang semakin terhad.

“Penurunan harga minyak sawit daripada paras tertinggi pada September juga boleh menggalakkan pembeli global untuk mendapatkan penghantaran hadapan pada harga yang lebih menguntungkan,” menurut MPOC. 

Dalam pada itu, di peringkat global, gangguan logistik yang berterusan di rantau Laut Hitam dijangka terus mengekang aktiviti pemprosesan, sekali gus mengehadkan ketersediaan minyak bunga matahari dalam pasaran global dalam tempoh beberapa bulan akan datang, melainkan satu koridor perkapalan yang selamat diwujudkan. 

Ini berlaku walaupun pengeluaran biji bunga matahari global dijangka mencatat rekod sebanyak 65.3 juta tan pada 2027, dengan sebahagian besar peningkatan itu adalah dari rantau Laut Hitam.

“Selain kekangan terhadap bekalan minyak bunga matahari, ketersediaan minyak kacang soya dari Amerika Selatan juga berkurangan memandangkan rantau itu memasuki musim penanaman kacang soya dari Oktober hingga Disember,” menurut MPOC. 

Sehubungan itu, India dijangka akan lebih bergantung kepada import minyak sawit bagi memenuhi keperluan minyak sayurannya dalam beberapa bulan akan datang, terutamanya untuk menambah semula stok susulan sambutan Deepavali pada November. 

Trend yang sama juga dijangka berlaku di China, susulan pengurangan bekalan kacang soya dari Brazil boleh menggalakkan penggunaan minyak sawit yang lebih tinggi.

Risiko penurunan utama terhadap prospek harga termasuk harga tenaga yang semakin menyusut dan penggunaan minyak sayuran global dalam sektor makanan yang lebih lemah daripada jangkaan, akibat inflasi dan tekanan ekonomi.

-- BERNAMA