Dua Barisan Pengeluaran Tambahan Orgabio Capai Kadar Penggunaan 70 Peratus
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Orgabio Holdings Bhd memperkukuh keupayaan pengeluarannya apabila operasi dua barisan pengeluaran tambahannya kini mencatat kadar penggunaan kira-kira 70 peratus, sekali gus meningkatkan keupayaan kumpulan itu memenuhi keperluan minuman pracampur pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Ean Yong Hien Voon berkata kadar penggunaan keseluruhan kapasiti pengeluaran di kilang baharu kumpulan itu kini kira-kira 40 peratus.
Beliau berkata penambahan kapasiti itu menyusuli pelaksanaan rancangan pelaburan kira-kira RM4 juta bagi membangunkan kilang baharu, termasuk pemasangan dua barisan pengeluaran tambahan, yang diumumkan pada mesyuarat agung tahunan Orgabio pada November 2025.
Barisan pengeluaran berkenaan tidak dikhususkan untuk kategori minuman tertentu, sebaliknya ia boleh disesuaikan mengikut keperluan setiap pelanggan, katanya kepada Bernama.
Menurut Ean Yong, ia disesuaikan bagi memenuhi pelbagai formulasi dan spesifikasi produk, termasuk kopi pracampur dan teh konvensional, minuman berfungsi serta produk berkaitan kesejahteraan.
Beliau berkata fleksibiliti infrastruktur pembuatan dan kapasiti pengeluaran sedia ada bermakna kumpulan itu tidak menjangkakan keperluan segera untuk perbelanjaan modal tambahan yang dikhususkan bagi produk kesejahteraan.
“Pada masa hadapan, kami akan terus mengoptimumkan keupayaan pengeluaran dan menilai keperluan perbelanjaan modal selaras dengan permintaan pelanggan serta pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Orgabio kini bekerjasama rapat dengan pemilik jenama untuk membangunkan dan mengilang minuman pracampur mengikut spesifikasi mereka.
Ean Yong berkata pengeluaran kumpulan itu bergantung kepada pesanan pembelian pelanggan, manakala jadual pembuatan ditentukan berdasarkan permintaan dan jumlah pesanan.
Penambahan Kapasiti Gudang
Dalam perkembangan berasingan, Ean Yong berkata cadangan pembelian hartanah oleh Orgabio merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan itu memperkukuh infrastruktur operasi dan memenuhi keperluan perniagaan jangka panjang.
Pada September, kumpulan itu mencadangkan pembelian sebuah hartanah perindustrian pegangan kekal di Semenyih, Selangor pada harga RM11.26 juta untuk dijadikan gudang.
Beliau berkata urus niaga itu masih menunggu pengeluaran pinjaman dan penyelesaian baki harga pembelian.
Pihaknya bercadang menggunakan kemudahan itu dalam keadaan sedia ada, dengan anggaran perbelanjaan modal tambahan kira-kira RM1 juta untuk memasang sistem pemadaman kebakaran dan sistem rak penyimpanan baharu. Ia dijangka beroperasi bermula pada 2027.
Kemudahan tambahan itu katanya dijangka membantu mengatasi kekangan ruang penyimpanan di kilang kumpulan di Bangi dan Beranang, sekali gus meningkatkan pengurusan inventori serta fleksibiliti operasi.
Ean Yong berkata kemudahan pergudangan dan penyimpanan yang mencukupi penting untuk menyokong perancangan pengeluaran serta memastikan kelancaran rantaian bekalan.
Bagaimanapun, penjimatan kos dan manfaat operasi sebenar bergantung pada tahap penggunaan kemudahan itu serta keperluan operasinya.
– BERNAMA