Kerajaan Yakin KDNK 2026 Lebih 5 Peratus, Ekonomi Kukuh Beri Manfaat Kepada Rakyat - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan yakin pertumbuhan tahun ini akan melebihi 5 peratus yang menandakan pencapaian pertumbuhan melebihi 5 peratus bagi tahun ketiga berturut-turut di bawah Kerajaan MADANI, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6 peratus pada suku kedua 2026.
“Dengan pertumbuhan KDNK keseluruhan 2026 diunjur antara 4.8 dan 5.3 peratus, kerajaan yakin pertumbuhan tahun ini akan melebihi 5 peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini
Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Menurut DOSM, ini disokong oleh prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan.
“Secara kumulatif, bagi tiga suku tahun pertama tahun 2026, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus, lebih tinggi berbanding 4.8 peratus yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2025,” menurut DOSM.
Amir Hamzah berkata bagi 2027 pula, pertumbuhan diunjur antara 4.2 dan 5.2 peratus.
Kadar pengangguran kekal rendah pada 2.9 peratus Ogos lalu. Nilai pelaburan diluluskan dan perdagangan mencatat paras tertinggi dalam sejarah.
“Ringgit terus berdaya tahan. Kedudukan daya saing negara pula melonjak daripada tangga ke-34 pada 2024 kepada tangga ke-15 hanya dalam tempoh dua tahun.
“Pencapaian ini menunjukkan ekonomi negara di landasan tepat dengan asas yang kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Kita menggembleng keupayaan dan sumbangan semua pihak untuk menjayakan agenda pembinaan negara berpaksikan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
Beliau berkata matlamatnya adalah untuk membangunkan sektor ekonomi bernilai tinggi dan menguasai teknologi terkini agar dapat menyediakan pekerjaan lebih baik untuk kehidupan rakyat yang sejahtera.
“Di samping itu, kita juga mahu negara ini terus berpaksikan tata kelola yang baik, perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat serta khazanah dan warisan negara yang terus terpelihara,” katanya.
-- BERNAMA