BERITA TERKINI   Polis tahan seorang lelaki, rampas ganja bernilai RM3.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke London menerusi LTAPP - Ketua Polis Pulau Pinang | Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM4.5 trilion daripada RM4.3 trilion tahun lepas – pengarah eksekutif SC | Pelabur China Tunjuk Potensi Pelaburan AS$15 Bilion di Malaysia dalam Enam Sektor – Ahmad Zahid | Bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan, tiada keperluan laksana langkah kecemasan - Ahmad Zahid | 

Brent Diunjur US$100 Setong, Emas Susut Kepada US$4,250 Seauns Menjelang Akhir 2026 -- OCBC

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Minyak mentah penanda aras global Brent dijangka mencecah paras US$100 setong menjelang akhir 2026, meningkat berbanding unjuran awal US$85 setong sebelum ini manakala unjuran bagi penghujung 2027 dinaikkan kepada US$85 daripada US$75 setong, menurut OCBC Group Research.

Cabang penyelidikan Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd (OCBC) berkata semakan menaik itu memaparkan lonjakan harga minyak semasa selain jangkaan kekangan bekalan semasa yang mengambil masa untuk kembali reda.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, OCBC Research memaklumkan anggaran eksport juga berbeza-beza antara penyedia khidmat pemantauan apabila lebih banyak penghantaran dijalankan secara konvoi menerusi pemindahan secara kapal ke kapal lain serta tindakan menggunakan kapal yang mematikan isyarat atau sistem pengesanan masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner

“Hala tuju itu jelas: lebih banyak minyak mentah itu yang sedang diangkut namun jumlah sebenarnya tidak diketahui. Pada masa sama, pasaran pula terlalu bergantung kepada (faktor) penampan kejutan,” maklum OCBC Research.

 

Unjuran harga emas disemak turun

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 

Selain itu, OCBC Research menyemak turun unjuran harga emas kepada US$4,250 seauns menjelang akhir 2026 dan US$4,710 seauns menjelang penghujung 2027.

Cabang penyelidikan itu juga kekal berhati-hati terhadap prospek logam berharga itu berikutan harganya yang terus merosot.

Menurutnya, sentimen pasaran dijangka kekal bertahan susulan tindakan Pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengekalkan kadar faaedahnya pada Oktober selain faktor ketidaktentuan mengenai kemungkinan kadar faedah dinaikkan pada Disember  .

OCBC Research memaklumkan risiko terhadap harga emas itu berkait rapat dengan lonjakan berterusan harga minyak, peningkatan hasil perbendaharaan selain aktiviti pengurangan leveraj yang rentas pelbagai aset.

Bagaimanapun, tekanan inflasi dijangka menyederhana daripada tempoh separuh kedua 2027 yang membolehkan pihak Fed meneruskan usaha pelonggaran dasar monetari dan menyebabkan hasil bon sebenar berkurangan.

“Perkembangan itu selain permintaan berterusan daripada sektor rasmi serta kebimbangan berkaitan kedudukan fiskal, dijangka hanya menyokong pemulihan harga emas secara beransur-ansur,” katanya.

 

Harga MSM dijangka kekal dalam julat kecil

 

Mengulas minyak sawit mentah (MSM) Malaysia, OCBC Research menjangkakan harga kekal dalam julat dagangan kecil bagi tempoh terdekat susulan paras stok simpanan domestik yang tinggi dan hanya memberi tekanan terhadap pasaran.

Namun, keadaan bekalan yang serta permintaan biodiesel yang kukuh berpotensi memberikan sokongan kepada harga menjelang tahun 2027.

“Permintaan luar telah pulih susulan tindakan India mengurangkan duti import minyak makan pada September lepas.

“Pengendali kilang penapisan dilaporkan telah membeli lebih daripada 200,000 tan MSM dalam tempoh seminggu menjelang perayaan Deepavali pada November,” maklumnya.

OCBC Research menyatakan peningkatan eksport mampu memperlahankan usaha pengumpulan stok simpanan.

Bagaimanapun, lebihan stok sedia ada berkemungkinan mengambil masa untuk dikurangkan, terutama jika permintaan bagi tujuan penambahan semula stok sempena musim perayaan terus berkurangan.

-- BERNAMA