BERITA TERKINI   PM Anwar arah projek tebatan banjir Sungai Buloh dan Sungai Damansara dipercepat untuk atasi isu banjir | IOI Properties Malaysia REIT sasar hasil IPO sebanyak RM2.1 bilion pada harga 96 sen sesaham menjelang penyenaraian di Pasaran Utama pada 25 Nov | e-Invois, instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya - PM Anwar | Kutipan cukai langsung kasar bagi 10 bulan pertama 2026 meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion bagi tempoh sama tahun lepas - PM Anwar | Sehingga 2 Nov lepas, sebanyak 2.14 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai - PM Anwar | 

BNM Dijangka Kekalkan Kadar OPR - Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) November pada Khamis ini, menurut Juwai IQI. 

Bagaimanapun, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kashif Ansari berkata bank pusat dijangka menaikkannya sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada suku pertama 2027.

Beliau berkata sejak mesyuarat MPC yang lepas, pertumbuhan ekonomi lebih kukuh daripada jangkaan dan inflasi dicatatkan rendah.

Ad Banner
Ad Banner

“Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour membuka pintu kepada potensi kenaikan kadar faedah pada awal bulan ini. Beliau menyatakan bank pusat kini mempunyai lebih banyak ruang untuk menaikkan kadar faedah jika tekanan harga meningkat.

“Beliau turut menyatakan kadar faedah semasa berada pada paras yang sesuai berdasarkan tahap inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang dilihatnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat kira-kira 5.0 peratus pada tahun ini dan kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 4.2 peratus dan 5.2 peratus pada tahun depan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, kadar inflasi dijangka tinggi pada 2027 berikutan kerajaan menjangka kos untuk tenaga, makanan dan input ekonomi akan meningkat pada awal tahun.

“Justeru, unjuran inflasi bagi tahun depan menunjukkan kadar tersebut berpotensi meningkat sehingga 2.8 peratus, merupakan kenaikan yang ketara.

“Jika inflasi mencecah paras tertinggi dalam julat unjuran itu, bank pusat mempunyai justifikasi yang mencukupi untuk menaikkan kadar dasar monetarinya.

“Sehubungan itu, peniaga pasaran kewangan mengambil kira kebarangkalian kenaikan kadar faedah kira-kira 76 peratus dalam tempoh enam bulan akan datang berikutan unjuran kerajaan bahawa inflasi akan meningkat pada awal 2027,” katanya.

-- BERNAMA