Seruan Boikot Produk Minyak Sawit Bukan Penyelesaian Isu Jerebu – MPOB
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Seruan memboikot produk berasaskan minyak sawit berikutan isu jerebu rentas sempadan bukan pendekatan yang tepat atau berkesan untuk menangani pencemaran udara, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Pengarah MPOB Datuk Badrul Hisham Mohd berkata pihaknya tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk menyuarakan kebimbangan berhubung isu alam sekitar.
"Bagaimanapun, apabila seruan boikot dibuat tanpa membezakan pihak yang menyebabkan pencemaran daripada keseluruhan industri, kesannya boleh melangkaui sasaran sebenar dan akhirnya membebankan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap masalah itu.
"Pendekatan MPOB jelas. Mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka atau mencemarkan alam sekitar mesti dipertanggungjawabkan dan tertakluk kepada tindakan undang-undang," katanya.
Badrul Hisham berkata prinsip itu perlu terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.
"Bagaimanapun, tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan tidak seharusnya diperluas sehingga menghukum keseluruhan industri yang terdiri daripada pengusaha bertanggungjawab, pekerja dan pekebun kecil," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons terhadap gesaan seorang selebriti tempatan yang tular di media sosial supaya orang ramai memboikot produk berasaskan minyak sawit berikutan kebimbangan mengenai isu jerebu.
MPOB memaklumkan bahawa tindakan menyamaratakan keseluruhan industri sawit berisiko menjejaskan mata pencarian ratusan ribu keluarga pekebun kecil yang bergantung kepada sektor itu sebagai sumber pendapatan utama.
"Lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara mengusahakan kawasan bertanam melebihi 866,000 hektar. Golongan ini antara yang paling terdedah kepada turun naik harga, kos pengeluaran dan permintaan pasaran.
"Sebarang kempen yang menjejaskan permintaan terhadap produk minyak sawit berpotensi memberi kesan kepada keseluruhan rantaian nilai, termasuk pendapatan pekebun kecil, aktiviti pengumpulan dan pemprosesan buah tandan segar (BTS), operasi kilang serta peluang pekerjaan berkaitan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA