Kutipan Cukai Langsung Kasar Naik 5.8 Peratus Kepada RM174.48 Bilion - PM Anwar
CYBERJAYA, 3 Nov (Bernama) – Kutipan cukai langsung kasar bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata peningkatan itu disokong antaranya usaha memperkukuh pematuhan percukaian menerusi penggunaan data e-Invois.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata lebih 97,000 pembayar cukai hampir mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela, dengan jumlah cukai kena bayar sebanyak RM1.68 bilion.
“Melalui usaha pematuhan yang diperkukuh, dengan penggunaan data e-Invois, lebih 97,000 pembayar cukai hampir mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela, dengan cukai kena bayar berjumlah RM1.68 bilion,” katanya pada Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2026 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Anwar berkata pelaksanaan e-Invois merupakan antara usaha untuk memperkukuh pematuhan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LHDN atas sumbangan mereka dalam memperkukuh kedudukan hasil negara.
Sebelum ini, LHDN melaporkan kutipan hasil cukai Kerajaan Persekutuan meningkat sembilan peratus kepada RM129.6 bilion bagi tempoh sehingga Jun 2026 berbanding RM119.1 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dilaporkan berkata peningkatan itu antaranya disumbangkan kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi.
– BERNAMA