BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | 

AS Manfaat Bantuan Asing Bagi Menyokong Penerimaan AI Di Malaysia Di Bawah AI Spark - Duta

KUALA LUMPUR, 3 Nov  (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) memanfaatkan bantuan luar negaranya untuk menyokong usaha Malaysia menerima pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) Amerika menerusi inisiatif baharu, US-ASEAN AI SPARK.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dan mempercepat usaha merealisasikan aspirasi ekonomi digital negara.

Duta AS ke ASEAN Kevin Kim berkata inisiatif itu mencerminkan pendekatan baharu pentadbiran AS dalam menyalurkan sumbernya untuk menyokong penggunaan teknologi dan memperdalam kerjasama ekonomi dengan negara-negara Asia Tenggara.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami kini menggunakan bantuan luar Amerika untuk aplikasi strategik dalam penggunaan AI, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” kata beliau dalam program The Nation terbitan Bernama TV yang bertajuk 'ASEAN-US at 50: The Next Big Moves' hari ini.

Inisiatif US-ASEAN AI SPARK merupakan program kerajaan AS yang dilancarkan pada Julai 2026 untuk menggalakkan eksport teknologi AI Amerika dan menyokong pelaksanaan AI dalam sektor awam di seluruh Asia Tenggara.

Kim berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab teknologi dan AI serantau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata AS berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan, industri dan tenaga kerja Malaysia bagi memudah cara penggunaan teknologi, menyediakan latihan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan membantu Malaysia memperkukuh keupayaan teknologinya, di samping mewujudkan peluang untuk kedua-dua negara.

Kerajaan AS percaya keupayaan teknologinya, terutama dalam bidang AI, dapat membantu negara lain memajukan pembangunan ekonomi masing-masing, tambah beliau.

“Apa yang terbaik untuk Malaysia dan apa yang terbaik untuk AS, dan kami mahu memastikan keseimbangan antara kedua-dua negara, tetapi pada asasnya, inisiatif ini perlu memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, yang bermakna perkhidmatan terbaik harus sentiasa menjadi pilihan,” katanya.

Pada 28 Julai, 2026, kerajaan mengumumkan penubuhan AI Malaysia Bhd, sebuah entiti AI kebangsaan di bawah Kementerian Digital untuk memangkin usaha merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.

Seiring dengan pelancaran AI Malaysia, kerajaan turut memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 sebagai agenda penting dalam pembangunan negara.

Pelan ini dirangka oleh mekanisme pelaksanaan yang sangat berstruktur, menumpukan kepada pengukuhan ekosistem melalui dua komponen utama: 14 inisiatif sektoral yang memberi impak langsung terhadap pertumbuhan sosioekonomi; dan 14 inisiatif sokongan bagi sektor-sektor yang berimpak, berasaskan lima pemangkin teras.

Lima pemangkin teras itu adalah modal insan yang berdaya saing di peringkat global, inovasi dipacu pasaran, infrastruktur data dan pengkomputeran, tadbir urus bertanggungjawab serta pembiayaan dan pelaburan yang mampan.

-- BERNAMA