BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | 

TERAJU Lulus Pembiayaan RM101.43 Juta Kepada 186 Usahawan Bumiputera Johor

JOHOR BAHRU, 3 Nov (Bernama) -- Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) meluluskan pembiayaan berjumlah RM101.43 juta kepada 186 perusahaan bumiputera di Johor, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Junady Nawawi.

Pembiayaan berkenaan disalurkan menerusi program Dana Pengembangan dan Katalis Bumiputera (BECF) serta Pembiayaan Projek dan Modal Kerja Islam (i-WCPF) bagi tempoh 1 Dis, 2024 hingga 16 Okt, 2026.

Menurut beliau, daripada jumlah pembiayaan itu, sebanyak RM69 juta diluluskan kepada 42 perusahaan bumiputera menerusi BECF manakala RM32.4 juta lagi kepada 144 perusahaan melalui i-WCPF.

Ad Banner
Ad Banner

Jelasnya, pembiayaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha TERAJU memperkukuh keupayaan syarikat bumiputera supaya lebih bersedia menyertai peluang perniagaan dan rantaian bekalan industri, khususnya menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Di Johor, pendekatan kita berbeza sedikit. Kali ini kita memilih format simposium yang memberi tumpuan lebih kepada perbincangan kandungan tentang hala tuju ekonomi, peluang-peluang pelaburan, perniagaan serta pekerjaan yang mungkin bakal diwujudkan melalui pertumbuhan ekonomi di Johor dan Zon Selatan.

"Kita mahu usahawan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang perkembangan ekonomi semasa dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan peluang yang ada termasuk peluang yang terbuka melalui pembangunan JS-SEZ, khususnya di dalam pembangunan rantaian bekalan industri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"TERAJU berperanan membantu syarikat bumiputera memperkukuh keupayaan dan mendapatkan sokongan yang diperlukan supaya mereka lebih bersedia untuk menyertai peluang-peluang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada TERAJU Aspirasi Bisnes Simposium (TABS) Johor 2026 di sini hari ini yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Syed Hussein Syed Abdullah selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor Nadhirah Afiqah Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Zaidi Abd Jabar serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss.

Mengulas lanjut, Junady berkata TERAJU menyediakan laluan pembangunan syarikat secara berstruktur menerusi program ASCEND, ENHANCE dan ACCELERATE yang disesuaikan mengikut tahap pertumbuhan serta keperluan perniagaan.

Beliau memaklumkan, program ASCEND memberi tumpuan kepada pengukuhan asas kewangan, pengurusan dan operasi syarikat manakala ENHANCE membantu syarikat membuat persediaan untuk menarik pelaburan serta mengakses pasaran modal.

"Program ACCELERATE pula disasarkan kepada syarikat lebih matang yang berpotensi atau bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dengan sokongan pembiayaan Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF) bagi perkembangan strategik perniagaan.

"Pendekatan ini menghubungkan pembangunan keupayaan dengan modal dan akses kepada pasaran," katanya.

Beliau menyifatkan pencapaian TERAJU bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan tetapi turut mengambil kira keupayaan syarikat untuk berkembang, menembusi pasaran baharu, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta membina ekosistem tersendiri dalam sektor masing-masing.

Mengenai TABS, beliau berkata Johor merupakan destinasi terakhir bagi siri Jelajah Teraju Aspirasi tahun ini selepas program sama dilaksanakan di Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang.

Beliau menyatakan pendekatan simposium di Johor memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai hala tuju ekonomi, peluang pelaburan, perniagaan dan pekerjaan yang berpotensi diwujudkan menerusi pertumbuhan ekonomi di negeri itu serta Zon Selatan.

Katanya, platform berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkembangan ekonomi semasa selain membina jaringan strategik bersama TERAJU dan rakan ekosistem.

Beliau juga berharap penganjuran TABS 2026 menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat bumiputera di Johor untuk berkembang menjadi perusahaan yang lebih berdaya saing, kukuh dan mampu meneroka pasaran lebih luas.

--BERNAMA