BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | 

IOIPG REIT Yang Bakal Disenaraikan Di Pasaran Utama Sasar Raih RM2.1 Bilion Daripada IPO

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) --  IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) menyasar meraih RM2.1 bilion melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 96 sen seunit, menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Bhd pada 25 November.

IOIPG REIT, cabang amanah pelaburan hartanah IOI Properties Group Bhd itu dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM5.3 bilion semasa penyenaraian, dengan jumlah hutang dianggarkan sebanyak RM2.65 bilion.

Ini mewakili nisbah tahap kadar hutang sebanyak 34.1 peratus berdasarkan jumlah nilai asetnya yang berjumlah kira-kira RM7.79 bilion.

Ad Banner
Ad Banner

 Menerusi satu kenyataan susulan pelancaran prospektus IPO hari ini, IOIPG memaklumkan IPO tersebut melibatkan penawaran sehingga 2.2 bilion unit terdiri daripada tawaran runcit sebanyak 715.6 juta unit (kira-kira 13.0 peratus daripada jumlah saiz dana terbitan sebanyak 5.5 bilion unit) dan tawaran institusi hingga 1.48 bilion unit (hingga kira-kira 27.0 peratus daripada jumlah saiz dana terbitan semasa penyenaraian).

Tawaran runcit itu merangkumi 550.6 juta unit tawaran terhad yang diperuntukkan kepada pemegang saham IOIPG, 55 juta unit tawaran terhad kepada pengarah dan pekerja yang layak bagi pengurus IOIPG REIT serta Kumpulan IOIPG melalui borang merah jambu, sekutu niaga kumpulan yang layak serta 110 juta unit tawaran yang disediakan untuk orang awam Malaysia dengan 55 juta unit daripadanya dikhaskan untuk pelabur bumiputera.

Selain itu, tawaran institusi merangkumi 1.48 bilion unit tawaran, termasuk 687.5 juta unit yang diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), 796.9 juta unit yang ditawarkan kepada pelabur institusi Malaysia dan asing yang lain, serta sekumpulan pelabur terpilih di bawah pengecualian yang tersedia menurut Peraturan S (Regulation S) Akta Sekuriti Amerika Syarikat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua pegawai eksekutif kumpulan IOIPG Datuk Lee Yeow Seng berkata kumpulan itu mempunyai rangkaian aset yang telah tersedia untuk dimasukkan ke dalam REIT, termasuk IOI Mall Puchong, IOI Mall Damansara dan IOI Mall Kulai.

“Aset ini mempunyai jumlah keluasan boleh sewa bersih hampir dua juta kaki persegi. Kami masih mempunyai rangkaian projek pembangunan yang kukuh, termasuk IOI Rio City di Puchong, Selangor, dengan keluasan boleh sewa bersih sebanyak satu juta kaki persegi.

“Selain itu, kami juga sedang membina dua buah hotel, iaitu W Langkawi dan The Westin. Ini merupakan aset-aset dalam perancangan terdekat yang sedang kami beri perhatian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus tersebut.

Lee berkata tiada garis masa yang tetap bagi potensi suntikan aset itu memandangkan setiap hartanah perlu mencapai tahap matang terlebih dahulu sebelum kumpulan tersebut boleh mencadangkan suntikannya ke dalam REIT, tertakluk kepada penilaian yang sewajarnya serta kelulusan lembaga pengarah.

“Kumpulan kekal menumpukan kepada pusat beli-belah dan pejabat komersial dan tidak berhasrat untuk menceburi secara langsung ke dalam REIT pusat data kerana kurang kepakaran dalam segmen tersebut,” katanya.

Portfolio aset awal IOIPG REIT terdiri daripada sembilan aset pegangan kekal yang berkualiti di lokasi strategik merentasi Selangor, pusat bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dengan jumlah nilai penilaian kira-kira RM7.66 bilion.

Portfolio tersebut juga merangkumi enam hotel yang beroperasi di bawah rangkaian jenama Marriott International, iaitu Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya, Moxy Putrajaya, Four Points by Sheraton Puchong, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang, serta dua pembangunan pejabat yang terdiri daripada IOI City Tower 1 dan 2, dan PFCC Towers 1, 2, 4 dan 5.

Maybank Investment Bank Bhd dan AmInvestment Bank Bhd merupakan penasihat utama bersama, penyelaras global, pengurus utama, penaja jamin utama dan penaja jamin bagi IPO tersebut.

CIMB Investment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd dan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd merupakan pengurus utama bersama dan penaja jamin, DBS Bank Ltd bertindak sebagai penyelaras global bersama dan pengurus utama manakala Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd pula merupakan pengurus utama bersama bersama.

-- BERNAMA