Sri Lanka Sasar Peningkatan Eksport Ke Malaysia, Atasi Ketidakseimbangan Perdagangan
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Sri Lanka berhasrat meningkatkan eksportnya ke Malaysia bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan di antara kedua-dua negara, kata Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Dharshana M. Perera.
Menurut Perera, jumlah perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara kini melebihi US$1 bilion dengan hampir 90 peratus daripadanya terdiri daripada eksport Malaysia ke Sri Lanka yang masih dalam proses pemulihan daripada krisis ekonomi yang dialaminya pada 2022.
Beliau berkata, Sri Lanka tidak berhasrat mengurangkan eksport Malaysia sebaliknya mahu memperkukuh keupayaan bekalan domestiknya serta meningkatkan eksportnya ke ke negara ini.
“Apa yang perlu kita lakukan bukanlah mengurangkan eksport Malaysia ke Sri Lanka sebaliknya meningkatkan eksport Sri Lanka ke Malaysia.
“Kita akan memperkukuh keupayaan dari segi penawaran serta menjadi pembekal yang boleh dipercayai selain konsisten yang turut akan memberi manfaat kepada perniagaan di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.
Beliau memberitahu Malaysia merupakan pembekal penting barangan keperluan kepada Sri Lanka, khususnya produk berkaitan tenaga dan keselamatan makanan termasuk petroleum dan baja.
Menurut Perera, Malaysia juga merupakan antara pelabur utama di Sri Lanka dengan syarikat-syarikat Malaysia berada dalam sektor telekomunikasi, hotel dan rekreasi, perkhidmatan berasaskan pengetahuan serta utiliti.
“Pada pandangan kami, Malaysia yang sekian lama menjadi rakan ekonomi penting, berpotensi meningkatkan lagi tahap kerjasama dengan Sri Lanka,” katanya.
Mengenai peluang pelaburan di Malaysia, Perera menyatakan syarikat-syarikat Sri Lanka juga berhasrat untuk memperluas kehadiran di negara ini.
Beliau memberi contoh rancangan pembukaan Dilmah, sebuah syarikat teh dari Sri Lanka, menerusi konsep restoran dan peruncitan premium Urban Estate di Kuala Lumpur pada minggu depan sebagai bukti usaha syarikat-syarikat Sri Lanka untuk memperluas operasi mereka ke pasaran Malaysia.
“Setiap kali terdapat peluang, syarikat-syarikat Sri Lanka akan meneroka pasaran Malaysia kerana ia juga membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan melangkaui pasaran Sri Lanka,” kata pesuruhjaya tinggi itu.
Menyentuh mengenai pemulihan ekonomi Sri Lanka, Perera berkata negara itu mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 4.2 hingga lima peratus sejak dua tahun kebelakangan ini susulan krisis ekonomi yang melanda pada 2022.
Beliau mengaitkan pemulihan itu dengan disiplin fiskal, komitmen politik serta sokongan daripada rakan kongsi dua hala, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Krisis itu yang merupakan antara krisis terburuk di Sri Lanka sejak mencapai kemerdekaan pada 1948, mencetuskan kekurangan bekalan barangan keperluan yang serius, lonjakan inflasi, kejatuhan rizab mata wang asing serta bantahan besar-besaran rakyat yang akhirnya memaksa Presiden Sri Lanka ketika itu, Gotabaya Rajapaksa, meletakkan jawatan.
Selain krisis ekonomi 2022, Perera turut menyentuh kesan jangka panjang perang saudara di Sri Lanka yang berakhir pada 2009, sambil mengakui bahawa konflik itu telah menyebabkan negara berkenaan kehilangan peluang pelaburan dan pembangunan.
“Konflik yang berlarutan kira-kira 30 tahun itu sememangnya memberi kesan dan menyebabkan kami kehilangan banyak peluang yang berjaya diraih oleh negara-negara lain dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Perera menjelaskan Sri Lanka kini berada dalam persekitaran yang berbeza dengan pentadbiran semasa dan mendapat sokongan pengundi dari seluruh negara.
Beliau turut menekankan usaha untuk menggalakkan rakyat Sri Lanka yang menetap di luar negara termasuk di Malaysia agar menyumbang kepada pembangunan negara itu melalui sumber dan kepakaran mereka.
“Komuniti Sri Lanka di luar negara termasuk yang menetap di Malaysia mempunyai sumber besar yang perlu dimanfaatkan demi kemajuan bersama negara,” tambah beliau.
-- BERNAMA