Orang Ramai Diingatkan Berwaspada Penipuan 'Phishing', Promosi Palsu Menjelang Deepavali
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap mesej pancingan data (phishing), laman web palsu dan promosi dalam talian yang memperdaya pengguna menjelang perayaan Deepavali.
Naib Presiden Serantau ManageEngine bagi Asia Pasifik Arun Kumar berkata musim perayaan membuka lebih banyak peluang kepada sindiket penipuan apabila pengguna berbelanja lebih, kerap melakukan transaksi serta menerima lebih banyak mesej promosi dan pemberitahuan penghantaran barangan.
“Penipu merancang kempen mereka bertepatan dengan tempoh puncak ini dengan meniru gaya bahasa yang digunakan oleh perniagaan sah semasa jualan perayaan, termasuk tawaran terhad, diskaun pantas dan slot penghantaran saat akhir, bagi mendesak orang ramai membuat keputusan segera tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
“Ramai rakyat Malaysia juga melancong dalam tempoh ini dan lebih cenderung membalas mesej ketika dalam perjalanan tanpa terlebih dahulu mengesahkan kesahihannya,” katanya kepada Bernama.
Menurut Arun, antara penipuan lazim sepanjang musim perayaan termasuk iklan beli-belah dalam talian palsu yang menawarkan potongan harga besar bagi pakaian, barang kemas, barangan elektronik dan pakej pelancongan, selain pemberitahuan penghantaran bungkusan palsu yang meminta bayaran kecil untuk penghantaran semula.
Laporan insiden CyberSecurity Malaysia juga menunjukkan bahawa ‘phishing’ menyumbang 90.6 peratus daripada kes penipuan yang dikendalikan oleh Cyber999 pada suku pertama 2026.
“Kebanyakan penipuan ini bergantung pada taktik memujuk mangsa supaya mengambil tindakan tertentu dan bukannya menggodam sistem. Sebab itu kesedaran orang ramai amat penting dalam tempoh ini,” katanya.
Beliau berkata antara taktik yang dilaporkan termasuk promosi palsu Lazada dan Shopee, mesej kurier palsu serta aplikasi berbahaya yang menyamar sebagai perkhidmatan beli-belah pada harga murah dan pesanan makanan.
“Kami menjangkakan penipuan seumpama itu akan muncul menjelang Deepavali dan sepanjang musim perayaan, dengan penipu menyelitkan promosi serta tawaran perayaan bagi menjadikan mesej mereka kelihatan lebih meyakinkan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Arun menggesa pengguna supaya lebih berhati-hati dengan mesej dan panggilan daripada individu yang mendakwa mewakili bank, syarikat kurier atau agensi kerajaan, khususnya jika mereka meminta pemindahan wang dengan segera.
“Perniagaan yang sah jarang meminta pelanggan bertindak dalam tempoh beberapa minit, manakala bank tidak akan mengugut untuk menutup akaun dengan serta-merta sekiranya sesuatu pautan tidak diklik,” katanya.
Arun turut menasihatkan pengguna yang mengesyaki mereka telah menjadi mangsa penipuan supaya segera menghubungi bank masing-masing dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Beliau juga menyarankan pengguna perbankan dalam talian dan dompet elektronik menetapkan had transaksi harian, mengaktifkan pemberitahuan transaksi masa nyata serta menggunakan ciri keselamatan seperti fungsi pembekuan akaun, jika disediakan.
-- BERNAMA