IOI Corp Yakin Harungi Cabaran Besar Dalam Pematuhan EUDR, Sasar Premium Jualan Ke Eropah
PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Pematuhan terhadap Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dijangka tidak menimbulkan cabaran besar kepada IOI Corporation Bhd memandangkan syarikat itu mempunyai pengalaman luas dalam membekalkan produk minyak sawit yang diperakui.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Lee Yeow Chor berkata keperluan tambahan bagi maklumat pengesahan tanah boleh dipenuhi berdasarkan sistem sedia ada.
Selain itu, katanya pengalaman kumpulan itu turut diambil kira dalam membekalkan minyak sawit serta pecahan minyak sawit yang mendapat pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO).
“Kami telah membekalkan minyak sawit dan pecahan minyak sawit yang dikenal pasti sebagai produk diperakui RSPO selama beberapa tahun.
“Sehubungan itu, mengambil langkah seterusnya untuk mematuhi EUDR bukanlah sesuatu yang sukar,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini hari ini.
Lee memberitahu, kumpulan itu tidak menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah jualan ke Eropah susulan pelaksanaan peraturan berkenaan.
Namun pihaknya menjangkakan produk yang mematuhi EUDR mampu memperoleh harga premium sebagai pengiktirafan terhadap usaha tambahan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan peraturan tersebut.
Menurut beliau, pekebun kecil menyumbang kurang 0.5 peratus daripada bekalan kumpulan itu selain tahap kesediaan mereka dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap eksport IOI Corp ke Eropah.
Mengenai keadaan jerebu di Indonesia, beliau berkata cuaca kering berpanjangan telah menjejaskan operasi perladangan, khususnya di Kalimantan apabila beberapa kawasan tidak menerima hujan selama kira-kira tiga bulan.
Beliau menambah keadaan itu diburukkan lagi oleh jerebu dan pengurangan jumlah cahaya matahari yang turut menyumbang kepada penurunan pengeluaran di operasi kumpulan itu di Indonesia.
Dalam perkembangan berasingan, Lee memaklumkan IOI Corp yakin syarikat bersekutunya iaitu Bumitama Agri Ltd mampu membuktikan keberkesanan langkah pencegahan kebakaran dan pemadaman kebakaran kepada penilai yang dilantik oleh pihak berkuasa Singapura.
Beliau berkata penilaian itu akan meneliti sama ada syarikat perladangan telah memperuntukkan sumber yang mencukupi bagi mencegah kebakaran daripada berlaku atau merebak dalam kawasan konsesi masing-masing.
Beliau menjelaskan Bumitama telah menggunakan pelbagai teknologi termasuk kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi memantau kawasan berisiko berlakunya kebakaran.
Lee meyakini usaha yang dilaksanakan syarikat itu akan diambil kira dalam penilaian berkenaan dan tidak menjangkakan sebarang implikasi kewangan atau berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terhadap Bumitama mahupun IOI Corp.
IOI Corp memiliki pegangan tidak langsung sebanyak 32.1 peratus dalam Bumitama Agri Ltd iaitu sebuah pengeluar minyak sawit peringkat huluan yang disenaraikan di Bursa Singapura.
Sementara itu, Lee memberitahu pengeluar oleokimia Malaysia memperoleh kelebihan daya saing di pasaran Amerika Syarikat (AS) susulan perbezaan duti anti-lambakan dan duti timbal balas yang dikenakan ke atas import asid lemak.
Beliau berkata eksport Malaysia dikenakan duti kira-kira 10 peratus berbanding 30 hingga 31 peratus bagi produk Indonesia, bergantung kepada syarikat masing-masing.
Perbezaan kadar duti kira-kira 20 mata peratusan itu memberi kelebihan daya saing relatif kepada pengeluar Malaysia di pasaran AS.
Bagaimanapun, beliau berkata IOI Corp tidak melihat tarif import am yang lain sebagai faktor yang memberi kesan ketara terhadap perniagaan oleokimia kumpulan berkenaan.
-- BERNAMA