Unit Sunway Construction Raih Kontrak Kerja Tambahan Di Johor Bernilai RM920.8 Juta
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Sunway Construction Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd menerima surat anugerah bagi kerja-kerja tambahan (LOAV) daripada sebuah syarikat teknologi multinasional beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS), bernilai kira-kira RM920.8 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan pembinaan itu memaklumkan kerja-kerja tambahan berkenaan melibatkan pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip untuk pembangunan sebuah pusat data yang sedang dijalankan di Johor.
“LOAV itu turut berfungsi sebagai arahan untuk memulakan kerja-kerja berkenaan, yang disasarkan siap menjelang suku pertama 2028,” menurutnya.
Sunway Construction Group memaklumkan kontrak kerja-kerja tambahan itu tidak akan menjejaskan modal saham kumpulan atau pegangan saham pemegang saham utamanya kerana tiada saham baharu akan diperuntukkan atau diterbitkan bagi tujuan kerja-kerja berkenaan.
“Kerja-kerja tambahan itu dijangka tidak memberi kesan material serta-merta ke atas perolehan sesaham, aset bersih sesaham dan nisbah penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026.
“Sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan yang di luar jangka, kerja-kerja tambahan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 dan tahun-tahun kewangan seterusnya,” tambahnya.
-- BERNAMA