BERITA TERKINI   ACL2: Kuching City FC 2-0 Gangwon FC | Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | 

Ringgit Terus Ditutup Kukuh Selepas BNM Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Ringgit meneruskan pengukuhan dengan ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Khamis, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu bagi tahun ini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0445/0490 berbanding dolar AS daripada paras 4.0610/0660 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus itu selaras dengan jangkaan.

Beliau berkata BNM dilihat positif terhadap keadaan ekonomi semasa, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka mencatatkan lebih lima peratus bagi 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa sama, risiko terhadap ekonomi kekal stabil, namun kebimbangan kemungkinan peningkatan inflasi pada masa hadapan memerlukan BNM untuk terus berwaspada.

“Sehubungan itu, kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada 2027 tidak boleh diketepikan dan mungkin berlaku pada suku pertama tahun depan. Ini boleh memberikan sokongan tambahan kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam turut berkata pilihan raya pertengahan penggal AS menjadi antara pemacu utama sentimen pasaran hari ini, memandangkan Kongres yang dikuasai Parti Demokrat berkemungkinan akan meneliti dasar pentadbiran Presiden Donald Trump dengan lebih ketat.

“Susulan itu, harga minyak mentah Brent merosot di bawah US$100 setong kepada US$95.12 setong ketika ini, manakala Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.14 peratus kepada 101.423 mata,” katanya.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes pula berkata sentimen pasaran turut disokong oleh penurunan hasil Perbendaharaan AS susulan kejatuhan mendadak harga minyak mentah semalaman, apabila kebimbangan terhadap risiko geopolitik yang mempengaruhi harga minyak semakin mereda.

Beliau berkata peniaga semakin yakin bahawa konflik dengan Iran tidak mungkin tercetus semula, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi dalam pasaran bon AS.

“Mata wang ini lebih dipengaruhi oleh perkembangan luaran berbanding dasar monetari domestik. Bagaimanapun, dolar AS tidak melemah dengan ketara dan saya menjangkakan keadaan itu berlaku kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) masih dijangka menaikkan kadar faedah pada Disember.

“Selagi jangkaan kenaikan kadar itu belum berubah, pengukuhan ringgit dijangka mempunyai had. Pada masa ini, hala tuju harga minyak mentah dan tindak balas Fed merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi mata wang Asia, termasuk ringgit,” katanya.

Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5548/5578 daripada 2.5636/5669 ketika ditutup pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.5428/5478 daripada 4.5723/5779 semalam, serta naik berbanding pound Britain kepada 5.4455/4516 daripada 5.4783/4850 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1679/1717 daripada paras penutupan sebelumnya pada 3.1771/1813, namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.1013/1199 daripada 12.0673/0868 semalam.

Mata wang tempatan itu turut turun sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 223.6/224.0 daripada 223.5/223.8, serta merosot berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.43 daripada 6.39/6.40.

-- BERNAMA