BERITA TERKINI   Pelaksanaan tahanan rumah Najib Tun Razak ditangguh sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat - AGC | Polis Johor gerak 2,867 anggota, 3,304 aset sebagai persediaan hadapi MTL - Ketua Polis Negeri | Usaha Sama TRC Synergy-CCCC-Ufuk Semarak peroleh kontrak kerja bagi LRT Pulau Pinang bernilai RM2.69 bilion | Peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta merta apabila Najib pulang ke rumah - Loke  | Malaysia teliti kesan kekalahan parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal AS terhadap hubungan dua hala - PM Anwar | 

Keuntungan Suku Ketiga Public Bank Susut 3.8 Peratus Kepada RM1.77 Bilion

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Public Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM1.77 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept, susut daripada RM1.84 bilion, manakala hasil meningkat kepada RM7.74 bilion berbanding RM7.41 bilion sebelumnya.

Untung bersih merosot 3.8 peratus atau RM69.5 juta disebabkan peningkatan RM116.4 juta dalam elaun terjejas pinjaman/pembiayaan yang timbul daripada normalisasi caj kredit, penurunan RM90.8 juta dalam pendapatan pelaburan dan lonjakan RM47.0 juta (3.7 peratus) dalam perbelanjaan operasi lain.

Bank itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata ini sebahagiannya telah dikurangkan oleh tambahan RM75.8 juta (9.5 peratus) dalam yuran bersih dan pendapatan lain, didorong oleh pendapatan yuran berkaitan unit amanah yang lebih tinggi termasuk pendapatan bankasurans serta peningkatan RM73.5 juta (2.6 peratus) dalam faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam.

Ad Banner
Ad Banner

“Kerugian komprehensif lain (bersih) kumpulan untuk suku semasa menokok sebanyak RM385.5 juta kepada RM451.0 juta susulan kerugian daripada penilaian semula pelaburan kewangan yang timbul daripada hasil pasaran yang lebih tinggi bagi bon tetapi telah diimbangi oleh keuntungan daripada terjemahan operasi asing,” katanya.

Untuk sembilan bulan 2026, keuntungan bersih melonjak pada RM5.349 bilion berbanding RM5.348 bilion yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya, manakala hasil naik kepada RM22.67 bilion daripada RM22.08 bilion.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek berkata ia akan terus mengekalkan komitmennya untuk mengukuhkan peranannya sebagai pengantara kewangan dalam menyokong pembangunan negara, selain mengutamakan kehematan dalam mengurus risiko kredit, menegakkan tadbir urus korporat yang baik dan memastikan pengurusan risiko yang berkesan bagi menjaga nilai pemegang kepentingan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kumpulan Public Bank akan berusaha untuk mengekalkan kedudukan peneraju pasarannya dalam pengguna runcit domestik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui saluran pelbagai penghantaran serta perkhidmatan pelanggan yang cekap.

"Kumpulan akan kekal fokus pada segmen pembiayaan terasnya iaitu pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan kenderaan penumpang dan perniagaan pembiayaan PKS," katanya.

Public Bank juga akan terus memantapkan usaha keselamatan sibernya untuk menguruskan risiko penipuan siber dan komited bagi melindungi maklumat sulit pelanggan, termasuk memperkukuh daya tahan siber serta integriti operasi.

Sementara itu, dalam kemas kini cadangan kumpulan itu untuk menswastakan 73.23 peratus unit miliknya yang berpangkalan di Hong Kong, Public Financial Holdings Ltd, ia berkata penswastaan ​​itu dijangka selesai menjelang 16 Dis 2026.

“Selain daripada sebarang keadaan yang tidak diduga, cadangan penswastaan ​​itu dijangka memberi kesan positif ke atas pendapatan masa depan kumpulan dan saham-sahamnya.

-- BERNAMA