BERITA TERKINI   Pelaksanaan tahanan rumah Najib Tun Razak ditangguh sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat - AGC | Polis Johor gerak 2,867 anggota, 3,304 aset sebagai persediaan hadapi MTL - Ketua Polis Negeri | Usaha Sama TRC Synergy-CCCC-Ufuk Semarak peroleh kontrak kerja bagi LRT Pulau Pinang bernilai RM2.69 bilion | Peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta merta apabila Najib pulang ke rumah - LokeĀ  | Malaysia teliti kesan kekalahan parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal AS terhadap hubungan dua hala - PM Anwar | 

SIA Lancar Pelan Naik Taraf Bernilai S$2 Bilion Untuk Pertingkat Pengalaman Penumpang

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 6 Nov (Bernama) -- Singapore Airlines (SIA) hari ini mengumumkan pelan pelaburan bernilai lebih S$2 bilion (S$1=RM3.16) untuk menambah baik produk kabin penerbangan jarak jauh serta sistem hiburan dalam penerbangan KrisWorld sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengalaman penumpang.

Naik taraf baharu ini akan diperkenalkan secara berperingkat bermula separuh kedua 2027 pada 41 pesawat Airbus A350-900 (jarak jauh dan jarak ultra-jauh/ULR) milik SIA yang akan menjalani pengubahsuaian, serta pada pesawat Boeing 777-9 serba baharu.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata naik taraf ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen teguh Singapore Airlines untuk meningkatkan pengalaman perjalanan secara menyeluruh.

"Bagi pelanggan kami, pengalaman bersama Singapore Airlines adalah satu perjalanan yang lancar dan bersepadu, pelaburan besar ini dirancang untuk memberikan keselesaan, pilihan, dan kemudahan lebih baik pada setiap peringkat perjalanan.

"Pelancaran ini bukanlah titik penamat, sebaliknya satu lagi langkah dalam usaha berterusan kami untuk meraih serta mengekalkan kepercayaan dan kesetiaan pelanggan serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam industri penerbangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut SIA, pesawat 777-9 akan menampilkan keempat-empat produk kabin baharu, iaitu kelas pertama, kelas perniagaan, kelas ekonomi premium dan kelas ekonomi.

Selain itu, 41 pesawat A350-900 (jarak jauh dan jarak ultra-jauh) yang akan diubah suai itu akan dilengkapi dengan kerusi kelas perniagaan baharu, manakala kelas pertama akan diperkenalkan buat kali pertama pada pesawat A350-900ULR.

"Sistem hiburan dalam penerbangan KrisWorld generasi seterusnya akan menawarkan pengalaman hiburan lebih menarik, berciri sinematik, dan disesuaikan mengikut kehendak pengguna.

“Kesalinghubungan internet berkelajuan tinggi melalui Starlink pada pesawat-pesawat tertentu akan membolehkan pelanggan menstrim kandungan, berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan serta bekerja menggunakan peranti peribadi mereka semasa dalam penerbangan," menurut syarikat penerbangan itu

Sementara itu, SIA juga telah menyalurkan lebih daripada S$130 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian, pemulihan dan peluasan ruang rehat SilverKris miliknya di seluruh dunia termasuk yang terletak di hab Lapangan Terbang Changi bagi menyediakan kemudahan tempat duduk, menjamu selera, bekerja, dan bersantai yang lebih baik untuk para penumpang.

-- BERNAMA