Seremban Engineering Dapat Kontrak Rantaian Bekalan Rentas Sempadan Bernilai RM18.21 Juta
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Seremban Engineering Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, MIE Material Resources Sdn Bhd (MMR), meraih kontrak perkhidmatan rantaian bekalan rentas sempadan bernilai RM18.21 juta daripada EPG Engineering System Sdn Bhd (EPGES).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat kejuruteraan itu memaklumkan kontrak berkenaan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan, bermula dari 6 Nov, 2026 hingga 5 Nov, 2027.
Menurut Seremban Engineering, kontrak itu melibatkan pembekalan bahan, peralatan dan barangan lain dari China menerusi MMR bagi projek dan operasi EPGES di Malaysia.
MMR juga akan menyediakan perkhidmatan berkaitan, termasuk pengangkutan rentas sempadan dari China ke Malaysia, urusan pelepasan kastam untuk eksport dan import serta penghantaran tempatan di Malaysia, mengikut tempoh masa dan syarat yang dipersetujui.
“Segala perolehan dan penyediaan perkhidmatan akan dilaksanakan mengikut spesifikasi melalui pesanan pembelian yang dikeluarkan serta mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan oleh EPGES dari semasa ke semasa sepanjang tempoh sah kontrak itu,” tambahnya.
-- BERNAMA