Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Jualan Meluas
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini lebih rendah di tengah-tengah aktiviti penjualan meluas, menjejaki prestasi pasaran serantau yang lemah susulan tekanan baharu terhadap pasaran ekuiti global berikutan kejatuhan ketara Wall Street dalam tempoh semalaman.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 19.28 mata atau 1.17 peratus kepada 1,616.58 daripada 1,635.86 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 15.31 mata kepada 1,620.55, iaitu paras harian tertinggi dan kemudiannya mencecah paras terendah 1,610.80 semasa sesi pertengahan petang.
Keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 964 berbanding 273 manakala 404 kaunter tidak berubah, 1,132 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.64 bilion unit bernilai RM3.49 bilion berbanding 3.74 bilion unit bernilai RM3.61 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun terdapat pembetulan ketara, beliau kekal optimis namun berhati-hati terhadap pasaran dengan mengambil kira asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan prospek pendapatan korporat.
Beliau berkata keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus semalam selain jangkaan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus pada 2026, memberikan keyakinan yang lebih tinggi.
"Kami yakin kelemahan pasaran ketika ini sebahagian besarnya didorong oleh ketidaktentuan luaran dan bukannya kemerosotan asas ekonomi domestik manakala penilaian saham yang lebih menarik boleh menggalakkan pembelian terpilih terhadap saham mewah yang mempunyai asas kukuh," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.12, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menurun enam sen kepada RM4.90 dan RM13.04, CIMB berkurangan sembilan sen kepada RM7.06 manakala IHH Healthcare rendah dua sen kepada RM7.70.
Dalam dagangan aktif, Zetrix AI naik setengah sen kepada 6.5 sen, V.S Industry susut 2.5 sen kepada 29.5 sen, Top Glove menokok dua sen kepada 96.5 sen, Inari Amertron menurun 16 sen kepada RM2.12 manakala Nationgate berkurangan lima sen kepada RM1.82.
Antara kaunter paling untung ialah Fraser & Neave yang meningkat RM1.00 kepada RM22.22, United Plantations naik 28 sen kepada RM30.38 manakala MN Holdings, Petronas Gas dan Warisan TC masing-masing menokok 12 sen kepada RM3.82, RM17.42 dan 62 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 169.37 mata kepada 11,965.47 dan Indeks FBM Top 100 menurun 163.88 mata kepada 11,798.45.
Indeks FBM Mid 70 susut 333.85 mata kepada 17,020.88, Indeks FBM Emas Syariah menurun 184.33 mata kepada 11,822.77 manakala Indeks FBM ACE rendah 82.41 mata kepada 5,240.24.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.90 mata kepada 171.35, Indeks Tenaga menurun 11.61 mata kepada 794.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 171.85 mata kepada 18,957.06 dan Indeks Perladangan rendah 57.87 mata kepada 8,726.36.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.98 bilion unit bernilai RM3.17 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM3.29 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.21 bilion unit bernilai RM145.53 juta daripada 1.45 bilion unit bernilai RM157.16 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 444.10 juta unit bernilai RM174.61 juta daripada 395.36 juta unit bernilai RM162.15 juta pada Khamis.
Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 233.03 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (383.92 juta), pembinaan (173.00 juta), teknologi (597.24 juta), perkhidmatan kewangan (83.19 juta), hartanah (91.20 juta), perladangan (30.63 juta), amanah pelaburan hartanah (13.91 juta), dana tertutup (126,500), tenaga (132.47 juta), penjagaan kesihatan (108.92 juta), telekomunikasi dan media (34.55 juta), pengangkutan dan logistik (48.16 juta), utiliti (54.13 juta), serta amanah perniagaan (54,200).
-- BERNAMA