Niaga Hadapan Emas Menamatkan Kenaikan Selama Tiga Hari Untuk Ditutup Rendah
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives menamatkan kenaikan selama tiga hari untuk ditutup lebih rendah pada Jumaat, menjejaki prestasi lebih rendah di Bursa Komoditi New York (COMEX).
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kepada Bernama bahawa bulion telah kembali ke trend biasanya iaitu bergerak ke arah bertentangan dengan harga minyak dan seiring dengan ekuiti Amerika Syarikat (AS).
“Ini menjelaskan mengenai penurunan harga logam berharga itu, memandangkan harga minyak meningkat, manakala saham AS merekodkan penjualan besar-besaran semalaman,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak semerta bulan November 2026 susut kepada US$4,087.60 setiap auns troy berbanding US$4,140.80 ketika ditutup pada Khamis, manakala kontrak Disember 2026 merosot kepada US$4,103.20 daripada US$4,156.
Kontrak Januari 2027, Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 menyusut kepada US$4,104.30 setiap auns troy daripada US$4,157.10 sebelumnya.
Jumlah dagangan berkurang kepada 103 lot berbanding 165 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka turun kepada 177 kontrak daripada 220.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,112.85 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 5 November 2026.
-- BERNAMA