BERITA TERKINI   Banjir: Bantuan sehingga RM1,500 daripada NADMA, Kerajaan Negeri akan disalur kepada mangsa di PPS - MB Selangor | Banjir: Kerja-kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan sementara, semak semula pelan mitigasi - MB Selangor | Kesemua keluarga mangsa tragedi banjir Nepal-Tibet akan terima bantuan sekali bayar RM10,000 - Ramanan | Pelaksanaan tahanan rumah Najib Tun Razak ditangguh sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat - AGC | Polis Johor gerak 2,867 anggota, 3,304 aset sebagai persediaan hadapi MTL - Ketua Polis Negeri | 

Konsortium Diterajui MISC Tawar RM2.50 Sesaham Bagi Nyahsenarai Yinson Dalam Urus Niaga RM4.03 Bilion

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Konsortium yang terdiri daripada MISC Bhd serta pemegang saham utama Yinson Holdings Bhd (YHB) iaitu Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencadangkan untuk mengambil alih YHB dan menjadikannya syarikat persendirian menerusi urus niaga bernilai RM4.03 bilion.

Cadangan itu melibatkan pengambilalihan baki saham biasa dalam syarikat infrastruktur tenaga global berkenaan pada harga RM2.50 sesaham menerusi skim pengaturan ahli di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MISC memaklumkan pihak pembida bersama itu telah mengemukakan surat cadangan kepada lembaga pengarah YHB untuk pertimbangan mereka.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut surat itu, pembida bersama dan pembida utama bersama termasuk Pengerusi Eksekutif Kumpulan YHB Lim Han Weng tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian syarikat berkenaan.

“Saham syarikat itu dijangka dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd tertakluk kepada kelulusan berkaitan,” jelas MISC hari ini.

Pembida bersama terdiri daripada MISC OBU Holdings (L) Pte Ltd (MOHPL) iaitu anak syarikat milik penuh tidak langsung MISC; Kwasa Layar Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh KWSP dan YLSB serta anak syarikat YLSB iaitu MY Offshore Holdings Sdn Bhd (MYOHSB).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pembida utama bersama turut merangkumi MISC, Lim yang merupakan pemegang saham utama YLSB serta KWSP.

Setelah urus niaga itu selesai, MOHPL, YLSB dan Kwasa Layar masing-masing dijangka memegang kepentingan efektif kira-kira 41.46 peratus, 41.46 peratus dan 17.07 peratus dalam YHB menerusi MYOHSB.

Sebagai sebahagian daripada cadangan penstrukturan semula itu, Lim dan anak-anaknya akan memindahkan pegangan saham masing-masing dalam YHB kepada YLSB sebelum skim cadangan itu menjadi tanpa syarat.

Penyusunan semula dalaman ini akan meningkatkan pegangan saham langsung YLSB dalam YHB daripada kira-kira 27.17 peratus kepada 27.73 peratus.

KWSP juga akan memindahkan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 17.072 peratus dalam YHB kepada anak syarikat milik penuhnya, Kwasa Layar dalam tempoh 10 hari bekerja dari tarikh skim cadangan itu menjadi tanpa syarat.

MISC menjelaskan pihaknya dan YLSB akan menyediakan dana kepada MYOHSB bagi membiayai pertimbangan skim berkenaan.

“Bahagian pembiayaan MISC dijangka terdiri daripada kira-kira 75 peratus pinjaman bank dan 25 peratus dana dalaman walaupun komposisi akhir mungkin berbeza bergantung pada keadaan pasaran semasa termasuk kadar faedah serta keperluan operasi kumpulan,” tambahnya.

Dalam makluman berasingan, YHB mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima surat cadangan daripada pembida bersama dan pembida utama bersama yang memaklumkan hasrat mereka untuk menjadikan YHB syarikat persendirian menerusi skim cadangan itu.

Mengenai rasional cadangan itu, MISC memberitahu skim berkenaan akan memberi peluang kepada MISC untuk memperoleh kepentingan strategik yang besar dalam YHB iaitu sebuah kumpulan infrastruktur tenaga global yang terlibat dalam pembangunan.

Selain itu YHB turut terlibat dalam pemilikan, pengendalian dan pengurusan aset kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) serta kemudahan penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO).

“Skim cadangan itu seiring dengan strategi Kumpulan MISC untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan luar pesisirnya.

“Portfolio aset YHB yang mempunyai kontrak jangka panjang, keupayaan pembangunan dan pelaksanaan projek serta kehadiran geografinya dijangka melengkapi keupayaan sedia ada kumpulan dalam sektor luar pesisir,” jelasnya.

Menurut MISC, skim cadangan itu akan meluaskan pendedahan MISC kepada peluang pertumbuhan jangka panjang dalam pasaran infrastruktur tenaga luar pesisir global yang dicirikan oleh projek berskala besar, kompleks dari segi teknikal dan memerlukan modal yang besar.

 Selain itu, ia menuntut keupayaan pelaksanaan yang mantap, pengalaman operasi, hubungan pelanggan serta akses kepada modal.

“Lembaga pengarah percaya skim cadangan itu akan mengukuhkan kedudukan daya saing Kumpulan MISC serta keupayaannya untuk meneroka peluang masa depan dalam sektor infrastruktur tenaga luar pesisir,” tambahnya.

Pada 28 Ogos, 2026, MISC mengumumkan bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan awal dan penerokaan dengan YLSB serta pihak berkepentingan lain termasuk syarikat bersekutu YLSB dan KWSP berhubung cadangan berpotensi untuk menjadikan YHB sebuah syarikat persendirian.

Pada penutupan dagangan hari ini, saham YHB susut 0.44 peratus kepada RM2.26.

-- BERNAMA