Unit Microlink Peroleh Lanjutan Kontrak Bernilai RM59.58 Juta Untuk Sistem Saringan Imigresen
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Microlink Systems Sdn Bhd, unit milik penuh Microlink Solutions Bhd telah memperoleh lanjutan kontrak selama 12 bulan bernilai RM59.58 juta bagi sistem saringan penumpang awal (APS) untuk Jabatan Imigresen Malaysia, menjadikan jumlah nilai kontrak tersebut sebanyak RM137.92 juta.
Microlink dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa anak syarikatnya telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 5 November, 2026.
Menurut syarikat itu, tambahan tersebut merangkumi perkhidmatan aplikasi berterusan untuk penyertaan syarikat penerbangan tambahan, perkhidmatan infrastruktur, pembaharuan lesen perisian serta perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan bagi sistem APS berkenaan, menurut kenyataan itu.
“Lanjutan ini merupakan sebahagian daripada kontrak asal dan perlu dibaca bersama dengannya. Satu perjanjian tambahan akan dimeterai antara KDN dan Microlink Systems bagi merasmikan lanjutan tersebut,” menurut Microlink.
Dalam pada itu, Microlink menyatakan bahawa lanjutan berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, perolehan, dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2027, sepanjang tempoh kontrak yang dilanjutkan itu.
-- BERNAMA