Unit Nestcon Raih Kontrak RM161 Juta Bina Apartmen Servis 36 Tingkat
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Nestcon Bhd, Nestcon Builders Sdn Bhd (NBSB), hari ini menerima surat anugerah (LOA) daripada BU Developments Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja pembinaan sebuah blok apartmen servis 36 tingkat di Bandar Baru Ulu Kelang, Gombak, Selangor, bernilai RM161 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan penerimaan LOA oleh NBSB untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan utama dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, perolehan sesaham dan nisbah penggearan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan kerja berkenaan.
"Lembaga pengarah, selepas mempertimbangkan semua aspek LOA dan kerja-kerja pembinaan utama itu, berpendapat bahawa LOA dan kerja-kerja berkenaan adalah dalam urusan biasa perniagaan Nestcon dan penerimaan LOA itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat," menurut kenyataan itu.
Nestcon memaklumkan projek itu bermula pada 2 Nov 2026, dengan tempoh 34 bulan diperuntukkan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan utama menjelang 1 Sept 2029.
"Tempoh liabiliti kecacatan adalah selama 30 bulan dari tarikh yang dinyatakan dalam sijil siap praktikal bagi kerja-kerja pembinaan utama.
"NBSB hendaklah melaksanakan kerja-kerja pembinaan utama mengikut terma dan syarat tambahan lain yang ditetapkan dalam LOA," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA