Yinson Jelas Belum Terima Cadangan Penswastaan RM2.50 Sesaham

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Yinson Holdings Bhd menjelaskan bahawa syarikat itu belum bersetuju dengan skim penswastaan yang dicadangkan atau terma dalam surat cadangan berhubung rancangan pemegang saham utamanya untuk menswastakan syarikat pada harga RM2.50 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Yinson memaklumkan Lembaga Pengarah mengambil maklum laporan media yang menyatakan atau membayangkan bahawa syarikat itu telah menerima cadangan skim berkenaan.

“Lembaga Pengarah ingin menjelaskan bahawa syarikat belum menerima cadangan skim berkenaan atau bersetuju dengan terma dalam surat cadangan itu,” menurut syarikat berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Yinson menjelaskan bahawa seorang pengarah telah tersilap menandatangani salinan surat cadangan yang dilampirkan pada pengumuman terdahulunya, sedangkan tandatangan itu hanya bertujuan mengakui penerimaan surat berkenaan bagi pihak syarikat.

Menurut Yinson, tandatangan itu bukan dibuat berdasarkan sebarang keputusan atau resolusi Lembaga Pengarah dan tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan syarikat atau Lembaga Pengarah terhadap skim penswastaan atau terma dalam surat cadangan berkenaan.

“Halaman penerimaan yang ditandatangani itu juga belum dikembalikan kepada pihak pembuat tawaran bersama dan pembuat tawaran muktamad bersama seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 10 surat cadangan berkenaan,” menurut syarikat itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Yinson memaklumkan pihaknya mempunyai tempoh sehingga 4 Dis, 2026 untuk memberikan maklum balas terhadap cadangan berkenaan.

Syarikat itu akan membuat pengumuman lanjut selepas Lembaga Pengarah mencapai keputusan mengenai perkara itu.

-- BERNAMA