BERITA TERKINI   Jensen Huang letak jawatan sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif, dan ahli lembaga pengarah NVIDIA berkuat kuasa serta-merta -- laporan | PM Anwar mahu runding semula peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan | 

Malaysia Catat Pelaburan MRO Diluluskan Berjumlah RM4.16 Bilion Setakat Jun 2026 - MIDA

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pelaburan diluluskan dalam 55 projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia berjumlah RM4.16 bilion setakat Jun, 2026, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata projek-projek tersebut dijangka mewujudkan 11,623 peluang pekerjaan.

“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, kita menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya lima peratus pasaran MRO global menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan RRPF Engine Services (Malaysia) Sdn Bhd di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Teks ucapan beliau dibaca Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan MIDA, Norhizam Ibrahim.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA telah membantu membina keupayaan Malaysia dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan MRO, dalam pada itu Rolls-Royce telah bertapak di negara ini selama lebih 60 tahun dan merupakan ahli pengasas Aerospace Malaysia Innovation Centre.

Pembukaan Pusat Perkhidmatan Enjin RRPF di Sendayan TechValley, Negeri Sembilan, merupakan satu penambahan penting kepada ekosistem aeroangkasa Malaysia, kemudahan itu merupakan pusat khusus pertama RRPF bagi tujuan penyerahan semula enjin, pensijilan semula dan penyimpanan, katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Aircamo, rakan kongsi penyelenggaraan RRPF di pusat tersebut dan memberitahu bahawa kerjasama tersebut akan membawa keupayaan khusus yang jarang ditawarkan oleh negara lain di rantau ini.

“Keyakinan RRPF terhadap Malaysia mencerminkan pertumbuhan masa depan sektor penerbangan di Asia Pasifik. Perjalanan udara di rantau ini terus meningkat. Lebih banyak pesawat beroperasi dan lebih banyak enjin dipajak.

“Malaysia berhasrat untuk memenuhi permintaan tersebut dari sini. Perkhidmatan khusus seperti penyerahan semula dan pensijilan semula enjin merupakan kerja yang bernilai tinggi. Mereka memerlukan tenaga kerja mahir, sistem kualiti yang ketat, serta kepercayaan daripada rakan kongsi global. 

“Kemudahan tersebut akan melengkapkan keupayaan MRO sedia ada di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa serantau,” katanya.

Beliau turut menekankan daya tarikan Negeri Sembilan yang semakin meningkat sebagai destinasi pelaburan aeroangkasa, disokong oleh akses kepada bakat mahir, infrastruktur logistik dan industri sokongan.

Sikh Shamsul Ibrahim turut menggalakkan RRPF dan Aircamo supaya melibatkan lebih banyak syarikat Malaysia dalam operasi mereka, terutamanya dalam bidang pemprosesan khusus, peralatan dan jig, pengujian tanpa musnah (NDT) dan perkhidmatan kejuruteraan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata MIDA akan terus menyokong RRPF dan Aircamo seiring dengan pengembangan pusat tersebut, piihak berkuasa itu juga menantikan pelancaran keupayaan baharu, termasuk perkhidmatan enjin pihak ketiga dan operasi teknikal yang lebih canggih.

-- BERNAMA