Makmal ATE Guna Sama P.Pinang Dijangka Mula Beroperasi Pada Suku Pertama 2027
GEORGE TOWN, 13 Nov (Bernama) -- Makmal Peralatan Ujian Automasi (ATE) guna sama di bawah inisiatif Kampus ATE Pulau Pinang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027, menawarkan akses kepada syarikat tempatan terhadap teknologi canggih, peralatan, perisian dan kepakaran bagi memperkukuh keupayaan pembangunan produk.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kemudahan yang akan diwujudkan di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) itu membolehkan syarikat ATE tempatan mendapatkan akses kepada sumber dan kepakaran yang diperlukan untuk mereka bentuk, mengintegrasikan dan mengesahkan produk mereka tanpa perlu menanggung keseluruhan kos untuk membangunkan keupayaan sedemikian secara bebas.
Beliau berkata sebanyak 17 rakan kerjasama teknologi telah memberikan komitmen untuk menyokong empat peringkat utama pembangunan produk ATE menerusi kemudahan makmal guna sama itu.
“Makmal Guna Sama itu diwujudkan bagi berkongsi beban itu dengan menyediakan akses kepada syarikat ATE tempatan terhadap teknologi, peralatan, perisian dan kepakaran yang diperlukan supaya mereka dapat mempercepat proses daripada idea kepada penghasilan produk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kampus ATE Pulau Pinang dan Bengkel Kerjasama Teknologi Perubatan (MedTech) di PSDC di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSDC Datuk Dr Hari Narayanan dan CEO InvestPenang Datuk Seri Loo Lee Lian.
Pada majlis itu, Chow turut mengumumkan bahawa Boston Scientific telah memeterai MoU dengan InvestPenang bagi memulakan projek perintis di bawah inisiatif Kampus ATE Pulau Pinang, sekali gus menjadi MoU projek perintis ke-12 yang dimeterai menerusi program berkenaan.
Beliau berkata daripada 17 rakan kerjasama itu, lima pihak akan menyokong pembangunan konsep dan reka bentuk, lima pihak lagi memberi tumpuan kepada pemasangan, integrasi dan pentauliahan maya manakala lima pihak yang lain menyediakan sokongan bagi pensijilan kebolehpercayaan dan pematuhan sementara dua lagi menawarkan perkhidmatan peralatan ujian.
“Penyertaan rakan kerjasama teknologi bukan sahaja akan memperkukuh asas industri ATE tempatan, malah turut menyumbang kepada pembangunan bakat menerusi perkongsian pengetahuan dan penglibatan teknikal.
“Bagi seorang jurutera muda di Pulau Pinang, ini bermakna mereka berpeluang mempelajari teknologi daripada syarikat seperti Siemens dan Mitsubishi, di negeri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Hari berkata makmal guna sama berkenaan akan menyediakan peralatan dan keupayaan canggih yang mungkin tidak mampu diperoleh atau diakses sendiri oleh syarikat kecil, dan yuran penggunaan kemudahan itu juga boleh diberikan subsidi, dikurangkan atau dikecualikan, bergantung kepada saiz dan keupayaan syarikat yang terlibat.
“Melalui pembiayaan ini, kami membawa keupayaan itu dalam makmal supaya syarikat kecil yang tidak mampu memilikinya sendiri boleh datang dan menggunakannya,” katanya kepada pemberita selepas itu.
Beliau berkata inisiatif Kampus ATE turut merangkumi pembangunan program latihan dengan kerjasama pemain industri bagi menangani cabaran teknikal serta memenuhi keperluan kemahiran tenaga kerja.
Sementara itu, Loo berkata kemudahan berkenaan juga akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meringankan beban kewangan untuk mendapatkan perisian dan peralatan mahal yang mungkin hanya diperlukan sekali-sekala.
Beliau memberikan contoh perisian canggih yang boleh melibatkan kos kira-kira RM2 juta dan menurutnya syarikat sebaliknya boleh mengakses perisian itu melalui makmal guna sama itu dengan hanya membayar yuran nominal setiap kali diperlukan.
“Ini membolehkan syarikat kecil membuktikan bahawa mereka mempunyai akses kepada teknologi canggih ketika membida peluang perniagaan baharu tanpa perlu membuat pelaburan awal yang besar,” katanya.
Menurutnya inisiatif itu berpotensi membantu PKS tempatan mengembangkan operasi dan menerima projek berskala besar manakala syarikat besar pula boleh terus melabur dalam peralatan dan perisian mereka sendiri.
-- BERNAMA