Pengembangan Koa Denko Bakal Wujudkan Lebih 950 Peluang Pekerjaan Di Melaka – Ab Rauf
MELAKA, 13 Nov (Bernama) -- Pengembangan operasi pembuatan KOA Denko Malaysia Sdn Bhd di Ayer Keroh dijangka mewujudkan lebih 950 peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan prospek pekerjaan dan membangunkan tenaga kerja tempatan berkemahiran di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata pengembangan itu dijangka menyaksikan jumlah tenaga kerja syarikat berkenaan meningkat sehingga 1,000 orang menjelang 2028.
Beliau berkata, peluang pekerjaan tambahan itu akan membolehkan lebih ramai penduduk Melaka khususnya mereka yang memiliki kelayakan teknikal dan kemahiran khusus mendapatkan pekerjaan serta membina kerjaya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi.
“Saya amat berharap KOA Denko akan memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran teknikal dan kepakaran di Melaka supaya lebih ramai daripada mereka dapat merebut peluang ini, meningkatkan lagi kemahiran masing-masing dan membina kerjaya yang berjaya bersama syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan pembuatan baharu KOA Denko Malaysia di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden KOA Corporation Kosei Mukaiyama dan Pengarah Urusan KOA Denko Malaysia Akira Kinoshita.
Ab Rauf memaklumkan kerajaan negeri juga berharap dapat melihat kerjasama yang lebih erat di antara KOA Denko dengan syarikat tempatan khususnya dalam pembekalan mesin, peralatan dan perkhidmatan perindustrian berkaitan yang lain.
Beliau berkata, kerjasama sedemikian akan membolehkan syarikat tempatan mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam rantaian bekalan syarikat multinasional selain membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada pemain industri di negeri ini.
Beliau turut menyambut baik kerjasama KOA Denko sebelum ini dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) dalam membangunkan bakat tempatan dan berharap kerjasama itu dapat diperluas menerusi lebih banyak latihan praktikal serta pendedahan kepada industri untuk para graduan.
Ab Rauf menjelaskan bahawa inisiatif itu penting bagi mempersiapkan graduan untuk mengisi jawatan yang memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus khususnya ketika sektor pembuatan semakin mengguna pakai teknologi canggih.
Pengembangan KOA Denko itu turut menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan perindustrian Melaka susulan pengumuman pelaburan tambahan syarikat itu sebanyak RM1 bilion ketika majlis pecah tanah pada Oktober 2023.
Kemudahan baharu di Ayer Keroh itu kini merupakan fasiliti pengeluaran tunggal terbesar dalam KOA Group di seluruh dunia sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan syarikat itu terhadap Melaka sebagai lokasi strategik bagi aktiviti pembuatan.
Syarikat itu turut menetapkan sasaran untuk menghasilkan 8.2 bilion perintang cip sebulan menjelang 2028 sekali gus memperkukuh keupayaan pengeluarannya di peringkat global serta sumbangannya kepada rantaian bekalan elektronik.
Ab Rauf berkata, Melaka berhasrat untuk memperkukuh sektor pembuatannya dengan memberi penekanan lebih besar kepada bidang elektronik bernilai tinggi, semikonduktor dan teknologi termaju seiring dengan Strategi Semikonduktor Nasional.
Beliau menyatakan Melaka merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM14.68 bilion melibatkan 312 projek pada 2025, pencapaian pelaburan tertinggi dalam tempoh 22 tahun manakala lebih 400 syarikat pembuatan kini beroperasi di negeri itu termasuk hampir 30 syarikat dari Jepun.
Beliau memaklumkan kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada penyediaan infrastruktur perindustrian yang boleh dipercayai, proses pelaburan yang cekap serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran bagi menarik lebih banyak syarikat teknologi global.
Selain itu katanya, kerajaan negeri akan memastikan perniagaan dan masyarakat tempatan turut mendapat manfaat daripada pelaburan berkenaan.
-- BERNAMA