BERITA TERKINI   Kes tetak: PM Anwar ucap tahniah kepada pasukan perubatan HKL berjaya sambung semula pergelangan tangan anggota polis | Mesyuarat Kabinet berjalan lancar, kerajaan fokus isu pembangunan, kemudahan rakyat - PM Anwar | Malaysia belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada Singapura atau Amerika Syarikat berhubung isu Megaspeed-Nvidia - PM Anwar | Tiada sebarang petunjuk cip kecerdasan buatan (AI) dieksport semula dari Malaysia - PM Anwar | No indication chips have been re-exported from Malaysia - PM Anwar | 

Hasil Sektor Perkhidmatan Malaysia Naik 11 Peratus Kepada RM732.5 Bilion Pada Suku Ketiga 2026

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan hasil sektor perkhidmatan Malaysia meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM732.5 bilion pada suku ketiga 2026, manakala indeks volum mencatatkan peningkatan 5.9 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata prestasi sektor itu disokong oleh penganjuran acara utama termasuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Citrawarna 2026 serta konsert, selain cuti umum dan cuti sekolah.

Hasil tertinggi subsektor perkhidmatan disumbangkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan iaitu sebanyak 11.6 peratus tahun ke tahun kepada RM554.7 bilion, mencerminkan perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh dan peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, hasil bagi segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan meningkat 9.7 peratus kepada RM102.2 bilion.

DOSM berkata hasil bagi segmen perkhidmatan profesional, hartanah serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan berkembang 7.8 peratus tahun ke tahun, manakala segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, seni, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain berkembang 8.9 peratus.

Berdasarkan perbandingan suku tahunan, hasil sektor perkhidmatan meningkat 2.5 peratus, disokong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, selain perkhidmatan profesional, hartanah serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dari segi volum, indeks volum perkhidmatan meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun kepada 174.3 mata pada suku ketiga 2026, mencerminkan perkembangan aktiviti sektor perkhidmatan.

Bagi aktiviti e-dagang, pendapatan meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM335.8 bilion pada suku berkenaan, berbanding dengan suku tahun sebelum itu, pendapatan e-dagang menurun 0.6 peratus.

Jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan pula meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 4.7 juta orang, didorong terutamanya oleh aktiviti pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain yang masing-masing meningkat 4.3 peratus dan 3.2 peratus.

Bagi perbandingan suku tahunan, jumlah pekerja dalam sektor itu meningkat 0.7 peratus.

Sementara itu, jumlah gaji dan upah meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM36.1 bilion, dengan segmen makanan dan minuman serta hartanah masing-masing mencatatkan peningkatan 9.9 peratus dan 9.7 peratus.

Berbanding suku sebelumnya, jumlah gaji dan upah meningkat 1.4 peratus.

-- BERNAMA