Jualan Perdagangan Borong Dan Runcit Naik Kepada RM183.1 Bilion Pada September 2026 - DOSM
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan jualan lebih tinggi sebanyak RM183.1 bilion pada September 2026, meningkat 15.9 peratus tahun ke tahun, disokong pertumbuhan dalam ketiga-tiga subsektornya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Indeks volum turut meningkat 5.5 peratus seiring dengan perkembangan jualan itu, katanya.
Jualan perdagangan borong melonjak RM17.9 bilion atau 25.3 peratus tahun ke tahun kepada RM89.0 bilion.
"Jualan perdagangan runcit mencatatkan RM73.7 bilion, meningkat RM4.7 bilion atau 6.9 peratus. Kenderaan bermotor merekodkan jualan sebanyak RM20.5 bilion, naik RM2.4 bilion atau 13.4 peratus," kata DOSM dalam satu kenyataan hari ini.
DOSM berkata perdagangan borong terus memacu pertumbuhan pada September, meningkat 25.3 peratus, didorong terutamanya oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 56.7 peratus kepada RM40.4 bilion.
Pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG) yang lebih tinggi, sebahagiannya dipengaruhi oleh pergerakan harga pasaran, khususnya bagi produk berkaitan petroleum.
Sementara itu, jualan borong barangan isi rumah meningkat 7.0 peratus kepada RM16.2 bilion, disokong oleh permintaan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan, barangan elektrik dan elektronik serta pakaian.
Jualan borong bagi makanan, minuman dan tembakau pula meningkat 6.0 peratus, didorong oleh peningkatan jualan beras, bijirin lain, tepung dan gula serta ikan dan lain-lain makanan laut.
"Selain itu, perdagangan borong mesin, kelengkapan dan bekalan berkembang 11.0 peratus kepada RM6.6 bilion, terutamanya disumbangkan terutamanya oleh jualan komputer, komponen elektronik serta peralatan telefon dan komunikasi," kata DOSM.
Menurutnya, subsektor perdagangan runcit terus mencatatkan pertumbuhan positif pada September 2026, dengan nilai jualan meningkat 6.9 peratus kepada RM73.7 bilion.
Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan menerajui pertumbuhan, berkembang 7.9 peratus kepada RM29.2 bilion, disokong oleh peningkatan jualan di pasar raya dan pasar mini.
DOSM berkata jualan runcit barangan lain di kedai pengkhususan turut meningkat 6.0 peratus kepada RM15.1 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan serta pewangi dan kosmetik.
Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan di kedai pengkhususan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.6 peratus, manakala jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi di kedai pengkhususan meningkat 6.8 peratus.
Menurut DOSM subsektor kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan 13.4 peratus pada September 2026, terutamanya disokong oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 17.3 peratus kepada RM10.1 bilion.
"Pertumbuhan turut disokong oleh jualan dalam aktiviti jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta komponen dan aksesori berkaitan (33.0 peratus), jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (6.9 peratus), serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (6.1 peratus)," katanya.
Sementara itu, indeks jualan runcit dalam talian mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus tahun ke tahun pada September 2026, lebih sederhana berbanding peningkatan 6.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Dari segi volum, sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan peningkatan 5.5 peratus tahun ke tahun pada September, dipacu subsektor kenderaan bermotor yang berkembang 12.1 peratus, diikuti perdagangan borong (5.5 peratus) dan perdagangan runcit (4.2 peratus).
-- BERNAMA