Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini selepas sentimen pasaran terus dijejaskan oleh lonjakan dalam bekalan getah bermusim di Thailand dan permintaan tayar yang lemah di China, menurut seorang peniaga.
Niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Jumaat, disokong oleh penyusutan yen, yang jatuh ke paras terendah sejak September serta kenaikan harga minyak mentah sebelum ini.
“Namun begitu, kenaikan selanjutnya telah dihadkan oleh harga minyak mentah yang bercampur-campur dan kebimbangan ke atas ekonomi Amerika Syarikat terutamanya mengenai kenaikan kadar faedah,” kata beliau kepada Bernama.
Pada 3 petang, harga SMR 20 meningkat 9.5 sen kepada 1,015.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun sebanyak 2.7 sen kepada 775.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA