Kira-kira 10 Daripada Lebih 30 Syarikat ATE Di Pulau Pinang Tersenarai Di Bursa Malaysia
GEORGE TOWN, 13 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang kini menempatkan lebih 30 syarikat dalam sektor peralatan ujian automatik (ATE) dan daripada jumlah itu sekurang-kurangnya 10 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, dengan jumlah permodalan pasaran terkumpul kira-kira RM40 bilion.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia mencerminkan keupayaan syarikat ATE tempatan yang semakin berkembang dan kepentingan peranan mereka dalam rantaian bekalan semikonduktor serta pembuatan termaju negara.
Beliau berkata industri ATE di negeri itu turut disokong oleh ekosistem yang merangkumi lebih 80 rakan kongsi industri, termasuk firma kejuruteraan kejituan, yang berperanan penting bagi sektor tersebut.
“Ini menunjukkan bahawa syarikat ATE tempatan bukan lagi sekadar penyokong pemain industri tetapi mempunyai keupayaan dan potensi untuk berkembang serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) Kampus ATE Pulau Pinang dan Bengkel Kerjasama Teknologi Perubatan (MedTech) di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSDC Datuk Dr Hari Narayanan dan CEO InvestPenang Datuk Seri Loo Lee Lian.
Selain itu, Chow berkata sektor peralatan dan jentera (M&E) secara konsisten berada dalam kalangan tiga penyumbang utama kepada pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang sejak 2020, dan mencatatkan nilai sebanyak RM30 bilion dari 2020 hingga separuh pertama 2026.
Beliau berkata jumlah itu mewakili lebih 40 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan dalam sektor M&E yang diluluskan di Malaysia sepanjang tempoh yang sama.
Chow berkata Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) juga menetapkan sasaran untuk membangunkan 10 syarikat tempatan dengan pendapatan tahunan melebihi US$1 bilion dan sebanyak 100 syarikat lagi dengan perolehan tahunan sekurang-kurangnya RM1 bilion.
Menurut Ketua Menteri lagi, Pulau Pinang telah mempunyai empat syarikat ATE tempatan dengan pendapatan tahunan melebihi RM500 juta, dan ia dijangka mencapai sasaran sebanyak RM1 bilion.
“Strategi kami adalah untuk membangunkan ekosistem industri secara menyeluruh terutamanya dengan membantu perusahaan kecil dan sederhana berkembang menjadi syarikat jaguh tempatan.
“Oleh itu, kami berharap agar suatu hari nanti, semua syarikat ini mampu berkembang menjadi syarikat multinasional (MNC) atau syarikat dengan pendapatan sebanyak RM1 bilion. Kami akan bermula dengan sasaran RM1 bilion terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan pemain industri MedTech untuk berinteraksi dengan syarikat ATE tempatan bagi meneroka peluang kerjasama, pembangunan bersama dan penyetempatan teknologi.
Pada majlis itu, Chow turut mengumumkan bahawa Boston Scientific telah menandatangani satu MoU dengan InvestPenang untuk memulakan projek perintis di bawah inisiatif Kampus ATE Pulau Pinang dan MoU itu menandakan perjanjian projek perintis ke-12 yang dimeterai di bawah inisiatif tersebut.
-- BERNAMA