Tengah Hari Di KB, Malam Di KL, Perjalanan Sekitar Empat Jam Guna ECRL
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Sebelum berakhirnya tahun 2026, seorang penduduk Kuala Lumpur boleh berkunjung ke Kota Bharu (KB) untuk menikmati nasi kerabu Kelantan pada waktu makan tengah hari dan kembali semula ke Kuala Lumpur (KL) untuk makan malam di restoran mamak.
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini semakin hampir untuk merealisasikan perjalanan sedemikian, susulan permulaan operasi percubaan pada November. Perkhidmatan ekspres antara Gombak dan Kota Bharu dijangka mengambil masa kira-kira empat jam bagi setiap perjalanan.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menerima penyerahan jajaran Kota Bharu-Gombak sepanjang 523 kilometer pada 7 November lepas, tarikh operasi percubaan bermula, tren percubaan pertama berlepas dari Gombak pada jam 7 pagi dan tiba di stesen KotaSAS di Kuantan, Pahang pada jam 8.28 pagi.
MRL menyasarkan 12 Disember untuk memulakan perkhidmatan penumpang, tertakluk kepada pematuhan keperluan keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa, tambang sehala kelas ekonomi antara Gombak dan Kota Bharu bermula daripada RM125 bagi perkhidmatan transit, manakala bagi perkhidmatan ekspres pula bermula daripada RM147.
Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) di Universiti Teknologi MARA, Profesor Madya Dr Mohd Fathi Abu Yaziz menyifatkan penyerahan dan ujian perjalanan tersebut sebagai “pencapaian paling ketara bagi tahun 2026”.
Beliau berkata rangkaian kereta api ini bakal mengubah landskap hubungan penumpang serta pengangkutan kargo antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Manfaat daripada landasan kereta api ini juga bergantung kepada betapa mudahnya penumpang untuk pergi ke dan dari stesen-stesen tersebut.
“Dalam Belanjawan 2027, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM270 juta untuk menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar utama, termasuk penyediaan hubungan ke 15 buah stesen di pantai timur,” katanya.
PENCAPAIAN UTAMA LAIN
Mohd Fathi berkata sektor pengangkutan darat Malaysia pada 2026 boleh digambarkan sebagai tahun peralihan penting, beralih daripada fasa pembinaan awam berskala besar ke arah kesediaan operasi, pengukuhan kawal selia dan integrasi rangkaian.
Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura telah memasuki peringkat akhir ujian dan pentauliahan, perkhidmatan penumpang disasarkan bermula pada Februari 2027, tertakluk kepada pensijilan keselamatan bebas serta kelulusan kawal selia muktamad daripada kedua-dua negara.
Di Lembah Klang, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menetapkan sasaran untuk menyelesaikan pengambilan tanah bagi laluan MRT3 Circle Line menjelang akhir 2026.
Pengurangan bilangan lot tanah yang diperlukan, daripada 1,012 kepada 690 lot telah diumumkan semasa skim landasan kereta api muktamad diluluskan pada Julai, 2025.
Di Sarawak, DanaInfra Nasional Bhd melaporkan bahawa Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo telah mencapai tahap siap 99.98 peratus setakat 30 September, sepuluh daripada 11 pakej kerja telah disiapkan, manakala baki satu pakej lagi dijadualkan siap pada 2029.
Di Kelantan, Kementerian Kerja Raya memaklumkan pada Oktober bahawa Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai telah mencapai tahap siap 78.8 peratus dengan jajaran Pasir Hor-Kadok telah pun siap, kementerian itu menjangkakan bahagian Kelantan bagi projek Central Spine Road yang menghubungkan Kuala Krai dan Gua Musang, akan siap menjelang 2028.
Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa pada 16 Oktober, menjadikan kegiatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan awam sebagai satu kesalahan khusus, selain memperkenalkan peruntukan untuk menangani sindiket “tonto” yang mengganggu urusan penguatkuasaan.
Nama Tonto ini dikatakan berasal daripada akronim sinis iaitu “Tolong Orang Nak Tipu Orang”, Tonto adalah orang tengah atau sindiket pemberi maklumat yang bertindak melindungi pihak tertentu, pada kebiasaannya pemilik kenderaan perdagangan seperti lori, daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang.
KEKURANGAN DAN CABARAN PADA TAHUN 2026
Di Sabah, menurut Kementerian Kerja Raya, pada Oktober lepas, empat daripada 35 pakej kerja Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo telah siap, manakala pakej-pakej selebihnya disasarkan untuk disiapkan secara berperingkat menjelang 2030.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen telah memulakan siasatan terhadap pengurusan, kewangan dan pelaksanaan projek tersebut susulan penemuan oleh Ketua Audit Negara.
Di Pantai Timur, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pada 11 November bahawa Fasa 3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT3) dijangka menelan kos melebihi RM10 bilion, dokumen permintaan cadangan bagi kerjasama awam-swasta itu masih dalam penyediaan dengan pembida yang berjaya dijangka menanggung sepenuhnya kos pembangunan tersebut.
Sementara itu, Mohd Fathi berkata perbelanjaan sektor pengangkutan masih “tertumpu secara besar-besaran pada koridor-koridor mega”, manakala rangkaian pengangkutan penghubung (feeder) tempatan dan laluan pejalan kaki berbumbung kurang mendapat perhatian.
“Kekerapan bas penghubung tidak selaras serta infrastruktur pejalan kaki yang tidak lengkap menyebabkan ramai penduduk di kawasan pinggir bandar terpaksa bergantung kepada kenderaan persendirian.
“Perbezaan dalam piawaian kejuruteraan dan keselamatan antara jalan persekutuan, negeri dan perbandaran menimbulkan risiko khusus kepada penunggang motosikal,” katanya.
TINJAUAN DAN KEUTAMAAN BAGI TAHUN 2027
Menurut Mohd Fathi, keutamaan bagi tahun 2027 termasuk memastikan perkhidmatan penumpang dan kargo yang boleh diharap di fasa pertama ECRL, memajukan projek peluasan ke Pelabuhan Klang serta menguruskan trafik di sekitar stesen RTS Link di Johor Bahru.
“Kita memerlukan piawaian keselamatan jalan raya lebih seragam di seluruh negara, penguatkuasaan berterusan terhadap kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan serta penggunaan kenderaan perdagangan elektrik lebih pantas.
“Selain itu, di sekitar stesen kereta api, penyediaan bas penghubung yang lebih kerap, perkhidmatan pengangkutan atas permintaan serta laluan pejalan kaki yang selamat akan membantu menukar kapasiti infrastruktur sedia ada kepada jumlah penumpang sebenar,” katanya.
-- BERNAMA