Malaysia, Kagoshima Perkukuh Kerjasama Perdagangan Pertanian, Agromakanan
PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Wilayah Kagoshima, Jepun berhasrat memperkukuh kerjasama perdagangan dalam sektor pertanian dan agromakanan termasuk meningkatkan akses pasaran produk kedua-dua pihak.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Gabenor Wilayah Kagoshima, Shiota Koichi kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak pada 11 November lepas.
KPKM memaklumkan, dalam pertemuan itu, Gabenor Wilayah Kagoshima menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport produk pertanian dan makanan dari wilayah berkenaan ke pasaran Malaysia termasuk daging wagyu, teh hijau, matcha, keledek dan produk perikanan.
Jelasnya, usaha mendapatkan pensijilan halal bagi fasiliti penyembelihan di Kagoshima turut sedang dilaksanakan bagi meningkatkan potensi eksport daging wagyu halal ke Malaysia.
"Kepentingan bekalan urea dari Malaysia bagi memenuhi keperluan sektor pertanian di Kagoshima turut dibincangkan.
"Kedua-dua pihak juga membincangkan potensi mempergiat perdagangan dua hala melalui program padanan perniagaan bagi membolehkan pemain industri meneroka peluang kerjasama,” jelasnya.
KPKM menyatakan kerangka perjanjian perdagangan sedia ada boleh dimanfaatkan bagi memperluas akses pasaran dan meningkatkan perdagangan produk pertanian serta agromakanan.
Perjanjian perdagangan berkenaan termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun.
Kedua-dua pihak turut menyatakan harapan agar komunikasi di antara KPKM dengan Kerajaan Wilayah Kagoshima terus diperkukuh bagi merealisasikan potensi perdagangan sektor pertanian serta agromakanan di antara Malaysia dengan Jepun.
Kunjungan itu turut dihadiri Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Setiausaha Bahagian Pelaburan Perniagaan dan Pelaburan, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan serta pegawai Jabatan Perikanan Malaysia dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan.
-- BERNAMA