Perak Dijangka Sekali Lagi Catat Lebihan Kewangan Tahun Ini, Atasi Unjuran Defisit RM95.5 Juta - Saarani
KUALA KANGSAR, 15 Nov (Bernama) -- Perak dijangka sekali lagi mencatatkan lebihan kewangan tahun ini mengatasi unjuran defisit sebanyak RM95.5 juta, sekali gus melakar pencapaian lebihan bagi tempoh lima tahun berturut-turut.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata prestasi fiskal memberangsangkan itu didorong oleh pengurusan khazanah negeri secara berhemat yang menyaksikan kutipan hasil negeri kini mencecah RM1.1 bilion dan berada pada haluan tepat mencapai sasaran RM1.48 bilion.
"Khazanah negeri bukan untuk dimegahkan, tetapi untuk dipelihara, bukan untuk diboroskan, tetapi untuk dimanfaatkan, demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negeri yang berpanjangan," katanya.
Beliau memaklumkan demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-70 Sultan Perak di Istana Inskandariah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Saarani berkata tahun lepas Perak mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh pada 5.7 peratus bernilai RM91.5 bilion, meningkat daripada 4.8 peratus pada 2024 dan 2.8 peratus pada 2023, manakala sektor pembuatan melonjak tiga kali ganda dengan pertumbuhan 15.2 peratus pada 2025.
Beliau berkata perkembangan ekonomi itu turut menyusutkan kadar pengangguran daripada 4.8 peratus pada 2021 kepada 3.5 peratus pada 2025 dengan jumlah penduduk bekerja mencecah 1.2 juta orang pada suku kedua 2026.
“Bahkan, jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan meningkat 40.7 peratus kepada 71,815 jawatan pada 2025.
“Lebih menggembirakan, sebanyak 14,105 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan, dengan penempatan bergaji RM2,000 ke atas melonjak 107 peratus, manakala penempatan bergaji RM3,000 ke atas meningkat 93 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Bagi meringankan tekanan kos sara hidup susulan krisis Asia Barat pada awal tahun ini, Saarani berkata kerajaan negeri menokok peruntukan Program Pasar Sejahtera Rakyat Perak kepada RM3.2 juta dengan pelaksanaan 132 program menjangkau lebih 28,000 rakyat sehingga September lepas.
"Kerajaan negeri turut melaksanakan Inisiatif Perak Sejahtera: Prihatin Rakyat 2026 melalui kelonggaran urusan tanah, lanjutan tempoh bayaran, pengecualian denda dan pengurangan fi,” katanya.
Beliau berkata momentum pembangunan negeri terus diperkukuh menerusi Belanjawan 2027 apabila tujuh daripada 10 hasrat pembangunan Perak diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, ini merangkumi kompleks pendidikan di Sitiawan, kemudahan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), rancangan tebatan banjir Sungai Sepetang, pembinaan sekolah di Ipoh dan Chemor, Pusat Santuari Gajah Perak serta Balai Bomba dan Penyelamat Proton City.
Selain itu, dua daripada lima nod pertumbuhan negeri iaitu Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) turut mendapat tempat dalam belanjawan negara dengan PROTON memusatkan pengeluaran kenderaannya di AHTV yang meningkatkan tenaga kerja daripada 1,500 orang pada 2021 kepada 7,400 orang.
Beliau berkata kedudukan Tanjong Malim sebagai mercu industri automotif negara semakin teguh dengan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) dijangka berkembang kepada kira-kira 300,000 unit menjelang 2027 daripada sekitar 100,000 unit pada 2023.
Selain itu pelaksanaan projek Terminal Pengegasan Semula Ketiga (RGT-3) oleh PETRONAS Gas Berhad di LuMIC dijangka dapat memperkukuh lagi prasarana tenaga negara.
“Dengan terbinanya kemudahan ini kelak, bertambah kukuhlah kedudukan LuMIC sebagai simpul penting dalam jaringan tenaga serantau, sekali gus membuka ruang kemajuan dan memperluas kegiatan perusahaan di bumi Perak Darul Ridzuan,” katanya.
-- BERNAMA