Prospek Pertumbuhan Rantau APEC Diunjur Cecah 3.4 Peratus Pada 2026
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi rantau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) diunjur mencecah 3.4 peratus pada 2026, meningkat daripada unjuran awal pada 3.2 peratus, disokong oleh pelaburan teknologi yang kukuh serta aktiviti perdagangan yang lebih rancak.
Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 3.1 peratus pada 2027 di tengah-tengah cabaran ekonomi yang semakin meningkat, termasuk harga tenaga yang lebih tinggi, ketegangan geopolitik, ketidakpastian dasar perdagangan, serta keadaan dasar monetari yang lebih ketat.
Menurut laporan terkini yang dikeluarkan oleh Unit Sokongan Dasar APEC, daya tahan ekonomi rantau ini disokong oleh pelaburan dan perdagangan kukuh dalam bidang berkaitan teknologi walaupun persekitaran global yang semakin mencabar mungkin memberi tekanan terhadap momentum pertumbuhannya pada tahun depan.
Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Carlos Kuriyama berkata prestasi ekonomi rantau ini kekal teguh namun ekonomi terbabit perlu memperkukuh keupayaan mereka untuk menghadapi risiko yang muncul.
"Pertumbuhan di rantau APEC kekal berdaya tahan, disokong oleh pelaburan dan perdagangan yang kukuh dalam sektor berkaitan teknologi, namun persekitaran ekonomi yang menjadi semakin mencabar boleh melemahkan pertumbuhan dalam tempoh terdekat," katanya.
Perdagangan barangan menjadi penyumbang utama kepada prestasi ekonomi rantau ini, dengan nilai eksport melonjak sebanyak 22.5 peratus berbanding tahun sebelumnya pada separuh pertama 2026, berbanding 6.5 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Jumlah eksport turut berkembang sebanyak 10.8 peratus, disokong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap semikonduktor.
Bagaimanapun, momentum perdagangan itu dijangka mengendur memandangkan gangguan geopolitik dan ketidakpastian berhubung dasar perdagangan terus menjejaskan perdagangan global.
Volum eksport barangan dan perkhidmatan diunjur berkembang sebanyak 6.9 peratus pada 2026, sebelum perlahan kepada 3.8 peratus pada 2027.
Sementara itu, laporan tersebut memaklumkan kenaikan harga tenaga menambahkan tekanan inflasi di seluruh rantau ini, dengan harga minyak mentah meningkat sebanyak 35.9 peratus sejak Julai 2026, manakala harga gas asli cecair dan arang batu naik masing-masing sebanyak 40.2 peratus dan 14 peratus.
Kos yang lebih tinggi itu dijangka memberikan tekanan tambahan kepada perniagaan dan isi rumah, dengan inflasi di rantau APEC diunjurkan mencecah 3.2 peratus pada 2026 sebelum mereda kepada 2.8 peratus pada tahun berikutnya.
Penganalisis Unit Sokongan Dasar APEC, Rhea Crisologo Hernando, berkata harga tenaga dan makanan yang tinggi telah menjejaskan kuasa beli isi rumah selain meningkatkan kos operasi perniagaan.
"Penggubal dasar berdepan cabaran untuk menangani inflasi sambil menyokong aktiviti ekonomi," katanya.
Laporan itu turut mengetengahkan kekangan fiskal yang dihadapi ekonomi memandangkan hasil bon kerajaan yang lebih tinggi serta hutang awam yang diunjurkan antara 108 hingga 112 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh terdekat mengehadkan keupayaan kerajaan untuk bertindak balas terhadap kejutan ekonomi.
Menurut laporan itu manfaat daripada peningkatan pelaburan teknologi mungkin tidak diagihkan secara saksama, terutamanya bagi ekonomi yang mempunyai infrastruktur, sumber kewangan, dan tenaga kerja mahir yang terhad untuk menyokong penggunaan teknologi.
Penyelidik Unit Sokongan Dasar APEC Eldo Simanjuntak berkata pelaburan dalam teknologi menyediakan peluang untuk meningkatkan produktiviti, namun manfaatnya bergantung pada keupayaan sesebuah ekonomi untuk membina kemahiran yang diperlukan serta kapasiti pelaburan.
Laporan tersebut menggesa pengurusan ekonomi yang berhemat, kepelbagaian pelaburan dan sumber tenaga, perdagangan terbuka, serta kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi mengekalkan pertumbuhan dan mengurus risiko.
-- BERNAMA