APEC Gesa Kurangkan Halangan Perdagangan Bagi Kekalkan Pertumbuhan Serantau
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Sekatan perdagangan yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik memberi cabaran kepada perniagaan dan rantaian bekalan, kata Pengarah Unit Sokongan Dasar Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Carlos Kuriyama.
Menurut Kuriyama jumlah langkah sekatan perdagangan yang sedang berkuat kuasa adalah hampir tiga kali ganda berbanding langkah dalam memudah cara perdagangan.
Justeru itu, beliau berkata peningkatan penggunaan langkah pemulihan perdagangan, termasuk tindakan antilambakan, langkah perlindungan dan duti timbal balas, wajar bagi ekonomi anggota bagi mengelak sekatan tidak perlu, khususnya terhadap barangan penting dan input pengeluaran.
Katanya meskipun perdagangan barangan di rantau APEC mencatat pertumbuhan ketara pada separuh pertama 2026, disokong sebahagian besarnya oleh permintaan kukuh terhadap produk berkaitan teknologi, prospek perdagangan dijangka lebih sederhana dalam tempoh dua tahun akan datang berikutan gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan dasar perdagangan.
“Kita perlu mengelakkan sekatan yang tidak perlu, khususnya terhadap barangan penting dan input kritikal,” katanya pada taklimat media maya APEC hari ini.
Kuriyama berkata pertumbuhan perdagangan tahun ini sebahagian besarnya didorong oleh produk teknologi bernilai tambah tinggi, khususnya semikonduktor untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI), selain peningkatan permintaan terhadap mineral dan bahan mentah yang diperlukan dalam pengeluarannya.
Bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang semakin memuncak serta gangguan laluan perkapalan, termasuk di Teluk Parsi dan Laut Merah serta sekatan operasi di Terusan Panama akibat kekurangan air, menambah kerentanan rantaian bekalan global dan memberi tekanan kepada jumlah pengangkutan kargo maritim dunia.
Sebaliknya, pengangkutan kargo udara global pula menunjukkan peningkatan pada 2026, disokong pertumbuhan perdagangan produk teknologi bernilai tinggi, walaupun Asia Barat masih berdepan gangguan operasi lapangan terbang, katanya.
Dalam usaha menangani cabaran berkaitan perdagangan itu, Kuriyama berkata APEC memberi penekanan lebih besar terhadap pendigitalan perdagangan, yang berpotensi mengurangkan kos transaksi dengan ketara serta meningkatkan kecekapan urusan perniagaan rentas sempadan.
Menurut beliau, kajian Unit Sokongan Dasar APEC mendapati pendigitalan proses perdagangan boleh mengurangkan kos transaksi sebanyak 5.6 peratus, manakala kajian sektor swasta menganggarkan potensi manfaat ekonomi antara US$5 bilion hingga US$11 bilion sekiranya perdagangan didigitalkan sepenuhnya.
Satu transaksi perdagangan pada masa ini boleh memerlukan antara 10 hingga 20 dokumen bercetak, sekali gus menunjukkan potensi penjimatan melalui penggunaan pengesahan elektronik, tandatangan digital, e-invois dan penyerahan dokumen secara elektronik, katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Eduardo Pedrosa berkata usaha memudah cara perdagangan perlu diteruskan meskipun ekonomi anggota berdepan tekanan perlindungan perdagangan yang semakin meningkat.
Cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan APEC bagi Perdagangan Tanpa Kertas, yang dikenali sebagai ACCEPT, merupakan satu inisiatif yang boleh membantu perniagaan mengatasi halangan pentadbiran dan mendapatkan akses lebih mudah ke pasaran antarabangsa, kata beliau.
Menurut Pedrosa, keperluan dokumentasi dan pematuhan yang berlebihan boleh memberi kesan tidak seimbang kepada perniagaan kecil, yang lazimnya tidak mempunyai sumber perundangan, kewangan dan pentadbiran seperti yang dimiliki syarikat besar.
Keadaan itu mengurangkan peluang mereka untuk menembusi pasaran yang lebih besar, katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan mendapatkan pandangan komuniti perniagaan bagi mengenal pasti halangan sebenar yang menghalang syarikat daripada mengembangkan operasi, membuat pelaburan dan menyertai perdagangan antarabangsa.
Pedrosa berkata perbincangan APEC dengan komuniti perniagaan sepanjang Minggu Pemimpin Ekonomi yang sedang berlangsung akan membantu penggubal dasar memahami dengan lebih baik sama ada tarif, sekatan eksport atau keperluan kawal selia lain menjadi penghalang kepada pertumbuhan perniagaan.
APEC ialah forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota di rantau Lingkaran Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik. Forum itu mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan 61.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global pada 2025.
-- BERNAMA