BERITA TERKINI   Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2026 meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion daripada RM25.07 bilion pada suku yang sama pada 2025 | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 30 peratus kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh yang sama pada 2025. | 

Projek Biogas Terengganu Polaris Bio Jadi Projek Artikel 6.2 Pertama Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Nov  (Bernama) -- Polaris Bio Co Ltd, syarikat biotenaga dari Korea Selatan, menjadi pemaju pertama yang mendaftarkan projeknya di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris di Malaysia, melibatkan projek Biogas Terengganu miliknya.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan MTCO Polaris Sdn Bhd, syarikat usaha samanya dengan Malaysia, menerima surat perakuan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada Jumaat di Pavilion Malaysia, Zon Biru COP31, sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Antalya, Türkiye.

Surat itu mengiktiraf projek berkenaan sebagai calon bagi kerjasama karbon dua hala di bawah Artikel 6.2, selaras dengan matlamat iklim Malaysia dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan.

Ad Banner
Ad Banner

Artikel 6.2 membolehkan negara mengambil kira pengurangan pelepasan yang dibenarkan dan dipindahkan dari negara lain bagi mencapai sasaran iklim masing-masing.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES Datuk Nor Yahati Awang yang menyampaikan surat perakuan itu kepada Pengarah MTCO Polaris Choi Mina berkata, beliau amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa projek Biogas Terengganu telah didaftarkan sebagai projek Artikel 6.2 yang pertama Malaysia.

Projek itu akan memerangkap biogas daripada efluen kilang kelapa sawit di Terengganu, memprosesnya menjadi biometana dan membekalkan kepada industri tempatan sebagai bahan api. Pemaju projek menjangkakan ia dapat mengurangkan pelepasan kira-kira 32,000 tan setara karbon dioksida setiap tahun.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Inisiatif itu diterajui oleh sebuah syarikat tujuan khas awam-swasta yang ditubuhkan di Korea Selatan oleh Polaris Bio dan Sudokwon Landfill Site Management Corporation, sebuah agensi awam di bawah Kementerian Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar Korea Selatan.

Kerja-kerja bagi Projek itu dijadualkan bermula pada 2027, dengan MTCO Polaris mengendalikan pelaksanaannya di lapangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Polaris Bio Kim Junghwan berkata projek itu akan menjadi ujian pertama bagi model berkenaan.

“Bersama-sama rakan kongsi kami di Malaysia, kami merancang untuk memperluaskannya kepada 30 hingga 40 kilang di seluruh negara dan ke sektor gas tapak pelupusan sampah, bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat yang memerlukan kredit karbon,” tambahnya.

Polaris Bio beroperasi di Korea Selatan, Malaysia dan Vietnam, dengan mendapatkan sumber, mengeluar serta mengedar kira-kira 50,000 tan setahun stok suapan bahan api penerbangan mampan dan minyak bahan api berat yang berasaskan bio untuk penjanaan kuasa.

-- BERNAMA