MABC Gesa Syarikat Malaysia Pelbagai Pelaburan Di Australia, Tumpu Teknologi, AI
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Majlis Perniagaan Malaysia-Australia (MABC) menerajui usaha mengubah hala tuju hubungan perniagaan dua hala dengan Australia, dengan menggalakkan syarikat beralih daripada pelaburan tradisional berkaitan hartanah kepada sektor berpotensi pertumbuhan tinggi seperti teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Pengerusinya Loong Caesar berkata syarikat Malaysia perlu memberikan penekanan lebih besar untuk menyelaraskan pelaburan mereka dengan strategi ekonomi Australia menerusi inisiatif “Invested: Australia’s South-East Asia Economic Strategy to 2040”.
“Mereka (Australia) telah mengenal pasti sektor tertentu yang ingin dibangunkan bersama ASEAN dan Malaysia khususnya.
“Oleh itu, corak pelaburan Malaysia di Australia yang secara tradisinya lebih tertumpu kepada sektor hartanah perlu dipelbagaikan kepada bidang strategik yang dikenal pasti itu. Potensi terbesar adalah dalam sektor teknologi, AI dan ekonomi digital,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV.
Loong berkata Australia mempunyai kelebihan tersendiri dalam inovasi digital dan AI, sekali gus menawarkan peluang kepada syarikat Malaysia untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai menerusi pemindahan teknologi dan usaha sama, berbanding sekadar membeli produk dari Australia.
Mengenai sektor tradisional seperti hartanah, yang menyaksikan pemaju utama Malaysia seperti Sime Darby Bhd, Mulpha International Bhd dan Gamuda Bhd telah membina kehadiran kukuh di Australia, Loong menggesa pemain industri tempatan supaya menjalinkan kerjasama dengan syarikat Australia bagi mengguna pakai teknologi bangunan hijau dan sistem pengurusan pintar.
Pada masa sama, Loong berkata aliran modal Australia ke Malaysia banyak tertumpu kepada infrastruktur digital, dengan menyebut komitmen pelaburan utama seperti pelaburan pusat data AirTrunk bernilai RM12 bilion dan pusat data antarabangsa pertama NEXTDC Ltd di Malaysia yang melibatkan pelaburan jangka panjang sebanyak RM2.8 bilion.
Beliau turut menyebut kerjasama antara Monash University Malaysia dengan TRX City bagi membangunkan kampus baharu bernilai RM2.8 bilion.
Bagi menyokong usaha sama rentas sempadan itu, Loong berkata MABC menghubungkan syarikat Australia yang ingin memasuki pasaran Malaysia dengan pemain industri tempatan menerusi program MABC Target, selain bekerjasama rapat dengan agensi seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu pelabur memahami persekitaran perniagaan dan operasi di Malaysia.
“Matlamat program itu adalah untuk menemukan pelabur atau syarikat Australia yang ingin memasuki Malaysia dengan rakan setara dalam industri berkaitan supaya mereka dapat berinteraksi dan memahami dengan lebih mendalam keadaan serta persekitaran industri di sini,” katanya.
Tahun lepas, perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Australia mencecah hampir AU$35 bilion, sekali gus menjadikan Malaysia rakan dagang dua hala kesembilan terbesar Australia.
-- BERNAMA